Oleh Collins Chong Yew Keat

KUALA LUMPUR, Malaysia: Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia dalam membangunkan industri semikonduktor, yang diumumkan oleh Perdana Menteri  merupakan satu langkah yang strategik dan kritikal dalam melonjak kepentingan sektor penting ini bagi pulangan berangkai kepada negara.
 
Impak positif kepada masa depan negara bukan sahaja tertumpu dalam domain ekonomi, pelaburan dan pulangan pembangunan teknologi dan peluang pekerjaan semata-mata, namun kekal kritikal dalam sektor keselamatan, pertahanan dan geopolitik.
 
Dengan sasaran utama NSS yang akan menarik pelaburan sebanyak RM500 bilion serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah penyelidikan dan pembangunan (R7D) global untuk semikonduktor, langkah serius dan proaktif semua pihak dalam merentasi sektor kerajaan, industri dan swasta menjadi faktor pelonjak kritikal.
Persaingan yang kian sengit di peringkat serantau dan global dalam mendominasi domain semikonduktor ini menjadikan perlumbaan ke arah membentuk landasan yang tepat dalam bidang ini menjadi tuntutan strategik dan nyata bagi kelangsungan kelebihan negara.
 
Peruntukan pada peringkat awal yang memerlukan suntikan fiskal sebanyak RM25 billion mungkin dilihat ramai sebagai peruntukan yang tinggi, namun pulangan berangkai kepada negara adalah jauh lebih tinggi dalam jangkaan akan datang. Kita tidak boleh ketinggalan dalam bidang ini yang hakikatnya kelebihannya memihak kepada kita, dengan pembangunan industri ini yang telah lama bertapak di negara kita sejak lebih dari empat dekat lalu.
 
Pemerkasaan bidang semikonduktor menjadi tuntutan kritikal, seiring dengan agenda Kerajaan untuk turut menjulang industri berkaitan, terutamanya domain kepintaran buatan, industri berteknologi tinggi baharu, ekonomi digital, sumber tenaga baharu, industri robotik dan teknologi kuantum, industri automotif kereta elektrik dan banyak lagi.
 
Permintaan cip berkuasa tinggi dalam bidang semikonduktor ini menjadi pemangkin serta faktor pelonjak dalam sinergi transformasi ekonomi negara, selari dengan pembangunan sektor kritikal lain yang akan menyuntik bargaining chips and leverage yang mendalam kepada kepentingan geopolitik dan ekonomi negara dalam menghadapi persaingan ekonomi dan kuasa global baharu yang kian sengit dan meruncing.
 
Semikonduktor ialah komponen kritikal yang terdapat dalam banyak fungsian, daripada telefon pintar kepada kereta, dan menjadi pentas persaingan geopolitik global.
 
Malaysia bersedia untuk mengukuhkan peranan dan kedudukannya sebagai hab serantau baharu bagi sektor ini, di mana peranan Malaysia semakin meningkat dalam mengubah dinamik perlumbaan semikonduktor.
 
Persaingan teknologi, ekonomi, perdagangan dan geopolitik antara Washington dan Beijing telah memberi manfaat kepada rantau ini dan khususnya Malaysia dalam mendapatkan semula penguasaan dan kedudukan yang pernah dipegang dalam bidang semikonduktor.
 
Kebimbangan terhadap daya tahan  jangka panjang dominasi Taiwan dalam sektor semikonduktor dengan ketidaktentuan geopolitik dan keselamatan yang semakin meningkat juga telah mendorong peningkatan tumpuan terhadap Malaysia, yang kini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, dan membekalkan 23% daripada semua cip Amerika.
 
Rantau Asean juga mendapat manfaat daripada persaingan global Beijing-Washington, di mana eksport semikonduktor ASEAN mencecah AS$165 bilion pada 2022, peningkatan besar berbanding AS$52 bilion pada 2017.
 
Malaysia pernah dilabelkan sebagai Silicon Valley of the East, yang menerajui bidang semikonduktor pada 1970-an tetapi dipintas oleh Korea Selatan dan Taiwan pada 1990-an dengan kebangkitan Samsung dan Taiwan Semiconductors Manufacturing Co. (TSMC).
 
Semasa kemuncaknya, Malaysia menjadi pentas tarikan kepada firma gergasi dunia Seperti Intel, mewujudkan zon perdagangan bebas di pulau Pulau Pinang, menawarkan kelebihan cukai, dan membina infrastruktur yang diperlukan dalam memacu pembangunan industry ini. Kelebihan melalui dasar sokongan kerajaan dan juga modal insan berkeupayaan serta fasih dalam Bahasa Inggeris menjadi faktor tarikan lain.
 
Malaysia mengawal 13 peratus pasaran global untuk perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian bagi semikonduktor. Industri semikonduktor menyumbang kepada anggaran 25 peratus daripada KDNK Malaysia.
 
Malaysia dilihat sebagai penghubung penting dalam rantaian bekalan industri semikonduktor.
 
Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan kepelbagaian rantaian bekalan, dalam scenario di mana firma berusaha untuk mempelbagaikan sandaran mereka apabila AS mengenakan sekatan ke atas industri cip China, mengharamkan akses China kepada cip mewah dan komponen kritikal termasuk reka bentuk cip AI.
Malaysia mempunyai semua potensi dan faktor sokongan yang diperlukan dan semua pihak perlu bergerak pantas dan seiring.
 
Intel, gergasi cip AS dan Infineon dari Jerman masing-masing melabur AS$7 bilion di mana ia merangkumi pembinaan kemudahan pembungkusan cip 3D termaju — kemudahan luar negara pertama Intel untuk pembungkusan cip 3D. Ini di samping pelaburan firma lain termasuk Texas Instruments, Ericsson, Bosch dan Lam Research semuanya berkembang di Malaysia. Bosch membuka salah satu daripada kemudahan ujian paling canggih di Asia di negara ini pada Ogos lalu.
 
Microsoft juga baru-baru ini telah menjanjikan pelaburan AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan di Malaysia untuk membantu membangunkan infrastruktur AI negara, di samping pelaburan Google sebanyak RM9.4 billion.
 
Semua ini menggambarkan daya tarikan jangka panjang yang semakin meningkat bagi sektor kritikal negara. Kedudukan geografi yang strategik dan lokasi pelabuhan memberikan faktor kritikal, dalam berfungsi sebagai titik penghubung strategik antara Timur dan Barat dan dalam mempunyai rantaian bekalan yang terjamin dan mampan dan keselamatan sumber.
 
Malaysia menikmati dividen daripada infrastruktur masa lalu dan semasa yang mantap dengan pengalaman sekitar lima dekad dalam 'back end' proses pembuatan semikonduktor. Ini mewujudkan laluan yang mudah untuk peningkatan yang lebih besar dan lebih mudah ke peringkat kemajuan seterusnya peringkat industri cip.
Malaysia juga mempunyai kelebihan kluster APT yang mantap, menyediakan sandaran alternatif dalam rantaian bekalan dan proses penghantaran dalam mengelakkan pendedahan risiko kepada gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh potensi konflik.
 
Usaha baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pelaburan teknologi digital dan kenderaan elektrik (EV) boleh menjadi tarikan tambahan bagi firma cip untuk memperkukuh kehadiran mereka di sini, dengan permintaan yang berkaitan dan saling menguntungkan kedua-dua industri.
 
Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam bidang teras kritikal terutamanya dalam AI dan pembelajaran mesin (ML).
 
Jurang sistemik masih wujud dalam bekalan dan pembangunan modal insan dan ketersediaan tenaga kerja mahir.
 
Dalam mengatasi kepompong prerangkap middle income nation, pemacu ke arah struktur ekonomi baharu yang berasaskan teknologi berimpak tinggi dan sektor digital dan aliran masuk pelaburan berkualiti dengan kesan limpahan ke atas peningkatan pendapatan dan penyediaan pemindahan teknologi dan kepakaran kekal penting.
Ia juga akan membawa kepada penambahbaikan dalam bidang kritikal termasuk sektor pendidikan dan mempunyai lebih ramai bakat terbaik dalam bidang sains berimpak tinggi, termasuk mempunyai lebih ramai saintis dan jurutera yang akan membantu menyokong pemacu baharu negara ke arah transformasi teknologi dan saintifik serta meningkatkan tumpuan terhadap kepentingan STEM.
 
Nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia berada pada 1:170 pada 2022, masih di bawah sasaran nasional 1:100 Tumpuan pada industri cip dan semikonduktor boleh membantu mengubahnya.
 
Walau bagaimanapun, industri cip di Malaysia sebahagian besarnya masih berada di peringkat bawah dan pertengahan spektrum (middle and low tier) dengan pembungkusan dan pemasangan.
 
Taiwan, Korea Selatan dan AS mengetuai pengeluaran high end chip dan kini India menyertai perebutan dominasi industri dengan pelaburan tinggi dalam sektor ini.
Malaysia perlu bergerak pantas dalam mengejar hala tuju baharu dalam industri ini seperti yang digariskan dalam NSS, dengan tiga fasa bersasar dan fokus terhadap pengeluaran bernilai tambah termasuk fabrikasi wafer dan reka bentuk litar bersepadu.
 
Tumpuan perlu diberikan pada "front end" proses pembuatan cip, bukannya hanya “back end". Ini memerlukan pendekatan strategik baharu dalam mendapatkan perkongsian dan pemindahan ilmu, kepakaran dan modal insan bersama dengan firma utama yang ditubuhkan dengan Taiwan dan AS.
Rencana NSS ini adalah mencerminkan cita-cita ini untuk memaksimumkan pulangan industri cip kepada negara, menyedari bahawa walaupun negara mempunyai kelebihan berbanding kuasa serantau lain.
 
Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 menawarkan sokongan pelengkap kepada NSS, dan diharap dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti front-end dalam meningkatkan kedudukan negara ke arah wawasan baharu ini.
 
Dalam matlamat ini, suntikan holistik yang memerlukan all of nation approach menjadi faktor pemangkin kritikal dalam melonjak kapasiti semikonduktor negara, terutamanya dalam mencapai hasrat untuk mencapai lima objektif utama NSS berlandaskan tiga fasa dan menghasilkan cip baharu canggih pada masa depan di bawah 5nm.
 
Kita memerlukan anggaran 60,000 jurutera elektrik dan elektronik setiap tahun dalam mencapai hasrat ini, dan semua jentera pendidikan dan agensi berkaitan perlu untuk bergerak bersama.
 
Malaysia masih mempunyai defisit kira-kira 1.2 juta pekerja dan telah mengalami masalah brain drain dengan pengaliran keluar bakat dan kepakaran  yang telah menjejaskan hasrat strategik transformasi negara.
 
Memandangkan negara menghadapi peningkatan persaingan daripada rakan serantau dalam bidang ini terutamanya Vietnam, India, Jepun dan Thailand dan juga India, ia memerlukan transformasi strategik dan sense of urgency dalam membekalkan sokongan dalaman yang diperlukan, dari segi infrastruktur dan juga modal insan.
 
India telah meluluskan rancangan untuk tiga kilang semikonduktor dengan pelaburan lebih daripada USD$15 bilion manakala pembuat cip kontrak terbesar di dunia TSMC, membuka kilang Jepun dalam usaha untuk mengatasi risiko ketegangan AS-China.
 
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran sistemik, Malaysia masih dianggap sebagai salah satu daripada tiga hab pengeluaran di Asia untuk semikonduktor, bersama dengan Korea Selatan dan Taiwan.
 
Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk memanfaatkan peluang sebenar untuk memperkukuh kedudukan negara dalam bidang kritikal geopolitik, termasuk sumber mineral strategik terutamanya nadir bumi. Semua pihak perlu terus jitu dan kukuh dalam rencana strategik jangka panjang negara untuk membangunkan dan mempertahankan kepentingan aset negara dalam sektor strategik ini, dalam hasrat untuk memacu kegemilangan dan pulangan ekonomi dan keselamatan negara pada masa depan. 
 
*Collins Chong Yew Keat, pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*