Oleh Collins Chong Yew Keat

KUALA LUMPUR, Malaysia: Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin bertemu pada hari Khamis lalu dengan rakan sejawatannya dari Australia, Jepun dan Filipina di Hawaii untuk mengeratkan hubungan dan meningkatkan kerjasama dan operasi ketenteraan, yang dinamakan sebagai pakatan baharu yang dikenali sebagai "The Squad."
 
Menteri-menteri pertahanan dari Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan Filipina ini berikrar untuk mempertahankan rules based order dan undang-undang antarabangsa di rantau Indo-Pasifik, terutamanya di zon pertikaian di Laut China Selatan. 
 
Keempat-empat negara berkongsi ancaman dan kebimbangan yang sama terhadap peningkatan tindakan agresif China dan dampak berangkai yang mengakibatkan ketegangan keselamatan dan mencetus dilema keselamatan baharu.
 
Kesemua Menteri Pertahanan dalam barisan "Squad" bertemu buat pertama kali pada Jun 2023 di luar dialog keselamatan Shangri-La di Singapura.
 
Pakatan baharu ini mencerminkan realiti keselamatan semasa. Komposisi dan percaturan usaha kebersamaan melalui aktiviti latihan ketenteraan bersama dalam usaha untuk membentuk show of force dan efficacy of combined deterrence atau keberkesanan cegah rintang secara bersama menonjolkan usaha alternatif yang strategik dan penting kepada Tokyo, Canberra dan terutamanya Manila. 
 
Bagi Washington, ini kritikal dalam memberikan mesej berangkai kepada Beijing dan juga jaminan terhadap sekutu semasa dan potensi sekutu masa depan di rantau ini. 
 
Gerak kerja dan objektif yang lebih praktikal, tuntas, tangkas dan langsung, membezakan corak the Squad berbanding dengan Quadrilateral Security Dialogue (Quad) yang turut dianggotai oleh Canberra dan Tokyo. 
 
Dengan momentum Quad yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, keberadaaan Manila dalam pakatan dan mekanisme baharu ini mempertingkat kesediaan dan daya tahan kuasa laut bersama sokongan dan koordinatif baharu dengan Tokyo dan jaminan Washington.
 
Ini menghantar mesej yang jelas tentang penentangan dan pencegahan yang melibatkan sokongan luar terhadap tindakan China di pertikaian Laut China Selatan.
 
Ia juga menghantar niat dan mesej baharu kepada landskap keselamatan serantau bahawa jaminan untuk mengukuhkan peraturan berasaskan rules-based order dan untuk menegakkan status quo undang-undang antarabangsa akan terus diangkat. 
 
Ini digunakan Washington untuk memberikan bayangan teguh bahawa ia kekal bertumpu kepada jaminan keselamatan di Asia Tenggara dan Indo Pasifik walaupun terpaksa bergelut dengan konflik pada masa yang sama di Ukraine, Asia Barat dan Timur Tengah.
 
China melihat tindakan multilateral Washington dalam memperkukuh keefisienan friendshoring, defence diplomacy dan alliance making di rantau ini, termasuk inisiatif the Squad sebagai sebahagian daripada percubaan berterusan Washington untuk membendung China.
 
Beijing terus memberikan amaran bahawa kesemua usaha ini akan memburukkan risiko konlifk yang akan mencetus ketidakstabilan serantau dan memperdalam senario perlumbaan senjata, menjurus ke dalam kancah persaingan ketenteraan yang meruncing. 
 
Secara rasmi, matlamat utama Skuad adalah untuk menentang pencerobohan dan aktiviti maritim yang mengancam kedaulatan pelaku serantau di laluan antarabangsa dan untuk mempertahankan kestabilan dan norma undang-undang antarabangsa, terutamanya dengan peningkatan tindakan Beijing di Second Thomas Shoal yang mengancam keselamatan Manila.
 
Langkah untuk memperkukuh jaringan bersama empat negara ini juga untuk memastikan bahawa keupayaan pertahanan antara kapasiti dan keupayaan kuasa laut mereka kekal tangkas, saling beroperasi, dan meminimumkan kesilapan semasa dalam keadaan konflik sebenar, dalam usaha untuk menjamin interoperability synergy.
 
Dalam persaingan yang berterusan untuk meraih dominasi dalam keupayaan masa depan dalam platform conventional and non conventional warfare,  Washington sedar bahawa ia kini bersaing sengit dengan Beijing dan juga ketinggalan dalam sektor tertentu, seperti dalam kapasiti kuasa hipersonik.
 
Dalam sektor persaingan penjuru cyber and digital warfare, space warfare dan platform semikonduktor dan sumber mineral kritikal, Amerika Syarikat terus terpalit dalam perlumbaan melawan masa untuk merapatkan jurang dengan Beijing, dan ia memerlukan jaminan dan rangkaian sekutu yang kritikal dalam rantau ini.
 
Ini memerlukan elemen kepercayaan dan keyakinan yang tinggi untuk mendapatkan jaminan keselamatan dan kelestarian  sistem rantaian bekalan, jaminan sokongan sekunder semasa konflik, dan juga pulangan dalam bentuk sumber kritikal ekonomi. 
 
Washington juga memerlukan sokongan geografi dan kelebihan rantau dalam membantu dari segi pencegahan konflik dan prospek kemenangan semasa konflik sebenar tercetus.
 
Walaupun masih mendominasi dalam kapasiti kuasa laut konvensional, Washington menyedari bahawa Beijing sedang merapatkan jurang dalam menggunakan pengaruh dan cengkaman serantau dalam pelbagai dimensi untuk membina kelebihan geografi yang lebih dekat termasuk pangkalan baharu seperti Ream di Cambodia, dalam reaksi tindak balas terhadap usaha Washington melipatgandakan jumlah pelabuhan strategik di Filipina. 
 
AS perlu terus mengekalkan dominasi kelebihan dalam kapasiti kuasa laut dan bawah laut semasa, terutamanya dalam menggagalkan percubaan Beijing untuk menguasai First and Second Island Chains.
 
Dalam memastikan usaha ini berjaya, Washington tetap memerlukan sokongan dan kerjasama sekutu serantau  dalam menggagalkan kelebihan geografi Beijing ini.
Sokongan daripada sekutu seperti Filipina dan Australia diterjemahkan bentuk pemindahan kapasiti dan dalam menggunakan sistem sokongan geografi setakat ini, dan menggunakan kelebihan geografi dalam membina pangkalan strategik termasuk pelabuhan AUKUS dan juga pangkalan dan pusat pengintipan di Australia.
 
Penggabungan pakatan empat negara yang baharu ini adalah penting dalam menggambarkan kesatuan, kepercayaan dan keyakinan dalam membentuk kesepakatan dan memberikan amaran kepada Beijing dalam menolak tindakan China yang kian agresif di Laut China Selatan.
 
Bulan lalu, empat negara ini menjalankan latihan tentera laut bersama secara berskala penuh pertama mereka di Laut China Selatan, dinamakan Maritime Cooperation Activity, untuk menunjukkan ketersediaan dan komitmen kolektif untuk mempertahankan kestabilan dan ketenteraman serantau. 
 
Selain daripada meningkatkan kepercayaan dan komitmen, latihan bersama dan koordinasi pergerakan adalah penting dalam meningkatkan  keupayaan saling kendali dan membina ikatan dalam menyelaras secara strategik dan memanfaatkan kekuatan dan kelebihan setiap empat pemain yang akan menghasilkan impak realistic terbaik dan objektif yang diharapkan.
 
Setiap satu daripada empat kuasa itu mempunyai risiko dan kegusaran tersendiri mengenai China, terutamanya di rantau ini.
 
Filipina adalah negara yang paling terjejas sejak kebelakangan ini, berada di bawah tindakan berterusan Beijing terutamanya di Second Thomas Shoal, daripada insiden laser sehingga insiden tembakan meriam air ke atas kapal Filipina.
 
Tokyo mempunyai pertikaian dan kebimbangan yang telah lama wujud dengan Beijing, dan pertikaian mengenai kepulauan Senkaku dan kewaspadaan sejarah konflik masa lalu dan legasi Perang Dunia Kedua memberikan tahap kegusaran yang sistemik dan konsisten.
 
Canberra telah menyaksikan hubungannya dengan Beijing semakin merosot semasa era pandemik, dengan tuduhan mengenai asal usul virus terhadap China, di mana Beijing juga telah menggunakan alat ekonomi dan perdagangan ke atas Australia.
 
Canberra sedar selepas itu bahawa ia perlu terus mempertingkat keupayaan pertahanan dan cegah rintang dan AUKUS dilihat sebagai benteng kritikal. 
Peningkatan kehadiran dan aktiviti Beijing di negara-negara Kepulauan Pasifik mengancam kepentingan Australia dan meningkatkan kebimbangan Canberra.
 
Lloyd Austin berkata kumpulan the Squad ini akan dipertingkatkan lagi, termasuk mengadakan lebih banyak latihan bersama dan menyediakan bantuan keselamatan yang lebih besar kepada Manila.
 
Blok baharu ini penting untuk kedua-dua pemain AS dan serantau, terutamanya Manila yang bukan sebahagian daripada Quad asal.
 
Bagi Australia dan Jepun, blok dan perkongsian baharu ini mewakili segmen keselamatan dan ketenteraan yang lebih langsung, berfokus dan realistik bagi jaminan  cegah rintang yang lebih praktikal dan mudah di lapangan untuk menjalankan aktiviti ketenteraan dengan justifikasi yang tinggi.
 
Ini memberikan kelebihan berbanding dengan Quad yang dilihat lebih perlahan dan birokratik yang melambatkan kapasiti yang diimpikan. 
 
Bagi AS, ia memberikan justifikasi dan pembukaan baharu untuk mengukuhkan kehadiran serantau, merapatkan jurang keupayaan, dan memanfaatkan kelebihan dan sokongan pemain serantau yang lain untuk menyekat momentum China.
 
Walaupun AUKUS akan mengambil masa yang lebih lama untuk menghasilkan impak yang diinginkan, gabungan the Squad yang baharu ini akan mempunyai ketangkasan lebih tinggi, dengan tentangan yang kurang daripada pelaku serantau lain.
 
Percaturan strategik di rantau ini akan terus diperhangatkan dengan tindak balas strategik China dalam memperkasa jaringan dan jalinan sedia ada di rantau Asia Tenggara, Asia Selatan dan Kepulauan Pasifik dalam mematahkan keberkesanan pakatan yang disokong oleh Barat. 
 
Kegusaran serantau akan terus dibentuk oleh kebimbangan keupayaan pertahanan dan kuasa ketenteraan dalam mencegah tindakan agresif pihak luar, dan kitaran ini akan terus dihidupkan dengan perubahan dinamik kuasa dan tayangan kuasa baharu oleh pelaku luar. 
 
*Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Dasar Luar, Strategi dan Keselamatan Universiti Malaya.*