Oleh UNDI 18

KUALA LUMPUR, Malaysia-Susulan dengan penangkapan yang dikenakan ke atas dua remaja lelaki yang juga merupakan pelajar sekolah yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan tular video mereka yang meluaskan rasa tidak puas hati terhadap soalan peperiksaan SPM mata pelajaran sejarah adalah tindakan yang tidak wajar dan kurang tepat.

Mereka kini akan disiasat dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Perkara ini secara tidak langsung akan mengganggu fokus dan emosi pelajar tersebut yang masih menduduki peperiksaan SPM tersebut.

Tambahan lagi, siasatan yang dikenakan terhadap pelajar terbabit menerusi Seksyen 233 Akta SKMM sehingga polis melakukan rampasan telefon bimbit pelajar tersebut merupakan satu aksi yang berlebihan kerana telah menyekat medium komunikasi pelajar tersebut.

Pelajar berkenaan sedang menduduki peperiksaan SPM dan perlukan medium komunikasi bagi berhubung dengan rakan-rakan serta guru-guru bagi mendapatkan info penting yang tertentu berkenaan peperiksaan.

Mereka yang terlibat hanyalah pelajar sekolah yang tidak mampu memberi sebarang ancaman serta menggugat ketenteraman awam menerusi video yang tular tetapi sebaliknya kandungan video tersebut hanya bersifat gurauan serta jenaka sesama rakan sebaya bagi menghilangkan tekanan setelah menjawab soalan peperiksaan yang mungkin pada pandangan mereka agak sukar untuk dijawab.

Namun, satu kesilapan yang dilakukan oleh kumpulan pelajar terbabit apabila memuat naik video tersebut menerusi aplikasi TikTok.

Mereka masih pelajar sekolah dan kurang pendedahan mengenai bahana apabila menggunakan platform media sosial untuk tujuan yang salah.

Justeru, tindakan seorang guru yang membuat laporan polis berkenaan isu ini sehingga berlaku tangkapan ke atas pelajar terbabit merupakan satu tindakkan yang tidak wajar dan kurang tepat.

Sebaliknya, guru tersebut boleh membuat laporan terus ke sekolah pelajar berkenaan berdasarkan maklumat identiti lencana sekolah yang dipakai pelajar tersebut dan lembaga disiplin sekolah serta unit bimbingan dan kaunseling sekolah perlu memainkan langkah proaktif awal dalam menasihati mereka yang terlibat sebagai usaha membendung perkara-perkara seumpanya berulang.

Meskipun begitu, perkara ini telah terjadi dan sudah semestinya memberikan kesan mendalam terhadap mental dan emosi pelajar terbabit yang mungkin pada masa akan datang mereka lebih takut untuk mengekspresikan kebebasan bersuara mereka.

Walaupun dalam konteks kebebasan bersuara ada limitasi tertentu, namun dalam prosedur tindakan yang dikenakan ke atas pelajar terbabit juga perlu adil dengan mengikut tapisan prosedur tertentu dan tidak seharusnya melangkaui bidang kuasa pihak sekolah sehingga melibatkan kes polis.

Semoga apa yang berlaku memberi iktibar kepada semua pihak agar apa yang telah berlaku tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

Dalam masa yang sama, kami turut menggesa pihak kerajaan untuk memansuhkan Seksyen 233 Akta SKMM supaya akta ini tidak akan disalahgunakan pada masa akan datang terhadap rakyat marhaen yang hanya mengekspresikan pendapat dan pandangan mereka menerusi platform media sosial bagi menjamin hak kebebasan bersuara semua lapisan masyarakat.