Oleh Collins Chong Yew Keat
KUALA LUMPUR, Malaysia: Washington meningkatkan usaha dalam menghalang tindakan Beijing di rantau ini, terutamanya di Laut China Selatan dan di Taiwan.
Quad kini kehilangan momentum, dan mekanisme keselamatan minilateral langsung memberikan rangsangan yang diperlukan dalam mempercepatkan tindakan secara berintegrasi berdasarkan ancaman bersama yang sebenar.
Perjanjian Camp David di antara Washington, Seoul dan Tokyo tahun lepas menggariskan langkah ini, dan ini diikuti dengan sidang kemuncak tiga hala yang melibatkan Manila dan Tokyo serta Washington minggu lalu.
Lawatan peringkat tertinggi oleh Presiden Filipina Marcos Jr dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida ke Rumah Putih dan kenyataan bersama yang jelas dalam mengutuk tindakan Beijing di Laut China Selatan kekal sebagai mesej paling jelas bahawa Washington mempunyai pilihan perikatan yang berdaya tahan di rantau ini dalam usaha mengekang Beijing, dengan menggunakan kegusaran serantau sebagai faktor pencetus untuk memperkasa benteng cegah rintang di Indo Pasifik.
Dalam mentakrifkan komitmen terhadap kesahihan undang-undang antarabangsa serta norma maritim global, Washington kekal kukuh dalam memberikan gambaran jelas kepada potensi pelaku serantau lain yang berkemungkinan untuk merapatkan diri kepada jaringan kesepakatan cegah rintang dan sekutu keselamatan bersama.
Biden kekal dengan pendirian tegas untuk menyokong Manila sekiranya berlaku sebarang konflik di rantau ini, dan ikrar Tokyo sendiri bahawa Washington tidak bersendirian dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa, semuanya menggariskan kapasiti bersama yang kian jelas dan kukuh dalam memberikan sandaran dan jaminan antara satu sama lain.
Ini juga penting dalam memberikan keyakinan dan momentum baharu kepada domain keselamatan serantau, mengurangkan risiko pelaku lain untuk terus menolak jaringan keselamatan Washington dan mempertingkatkan keterjaminan dan ketersediaan untuk memberikan sokongan geografi dan sumber lain dalam jentera pertahanan Barat sekiranya tercetus konflik dan semasa konflik.
Inisiatif rondaan bersama antara Manila dan Washington seperti yang dipersetujui sebelum ini akan menekankan kepada China sejauh mana keberkesanan dan kepercayaan di antara pakatan Filipina-A.S. Ia akan meningkatkan bargaining chips dan leverage Filipina apabila China meneruskan aktiviti maritim yang menyekat pergerakan kapal laut Filipina.
Biden mengulangi bahawa sebarang serangan ke atas aset Filipina di Laut China Selatan akan melibatkan perjanjian pertahanan bersama, dan ini memberikan keyakinan baharu bagi Manila dalam meneruskan pendekatannya untuk mendedahkan secara terbuka realiti fizikal peperangan zon kelabu Beijing atau grey zone warfare dan penggunaan berterusan kapasiti Coast Guard.
Second Thomas Shoal menjadi kawasan pertikaian dan konfrontasi berbulan-bulan mulai dari insiden laser hingga tembakan meriam air ke atas kapal-kapal Filipina, yang telah ditonjolkan secara terbuka oleh Manila dalam usaha untuk mendedahkan kepada masyarakat global tahap sebenar tindakan Beijing.
Beijing mengecam kenyataan bersama itu dan menganggap Washington sebagai menggugat kestabilan rantau itu dengan campur tangan luar dan melagakan pelaku serantau. Washington dilihat sebagai pelaku luar yang tidak mempunyai locus standi terhadap isu pertikaian tersebut.
Washington kini mempunyai kelebihan menggunakan pengisytiharan bersama ini dan perkongsian keselamatan yang lebih erat, di samping langkah unilateral Tokyo untuk merapatkan diri dengan Manila melalui Perjanjian Akses Timbal Balik (Reciprocal Access Agreement).
Beijing juga mempunyai naratif tersendiri sekarang dengan menggunakan justifikasi bahawa langkah pembendungan yang diketuai Barat kini menggugat keamanan serantau dan meningkatkan risiko dilema keselamatan dan persaingan dan perlumbaan senjata.
Beijing terus menerus menuduh Manila melanggar kedaulatan China, dan menyatakan bahawa rejim Marcos Jr semasa sebagai tunduk kepada perintah dan tuntutan Washington, bukan seperti mantan Presiden Duterte yang dilihat sebagai China friendly.
Walaupun jelas berpihak kepada Beijing, Duterte telah gagal mendapatkan jaminan timbal balik daripada Beijing mengenai pendekatan keselamatannya di zon yang dipertikaikan di Laut China Selatan, dan aktiviti maritim dan Coast Guard China masih diteruskan.
Marcos Jr menyedari kesilapan itu, dan kini tidak berbelah bahagi dalam pendekatannya untuk mempertahankan rules-based order dengan menyantuni payung sokongan yang berpanjangan dengan sekutu tradisional di Washington dan juga mengintai peluang dengan sandaran kuasa lain.
Tokyo dilihat sebagai pertaruhan yang lebih selamat, menyedari keperluan dan kebimbangan keselamatan yang sama yang akan mengukuhkan komitmen bersama dalam sokongan sekunder yang berpanjangan.
Kishida mengulangi bahawa "kerjasama pelbagai penjuru adalah penting" dan pertemuan tiga hala ini di Rumah Putih adalah satu langkah bersejarah.
Beliau sedar tentang keperluan untuk bertindak pantas, dan peningkatan momentum dalam perbelanjaan dan pemodenan pertahanan serta pelbagai langkah keselamatan dan diplomatik baharu mulai dari Overseas Security Assistance (OSA) hingga Reciprocal Access Agreement (RAA) dengan pelbagai rakan kongsi mencerminkan keperluan Kishida dalam melangkaui strategi cegah rintang semata-mata.
Jumlah peremajaan dalam bidang pertahanan dan keselamatan Jepun tidak menunjukkan bahawa ia hanya cuba merapatkan jurang dalam kapasiti pertahanan semasa terhadap kekuatan dan niat ketenteraan Beijing.
Matlamat akhir adalah sentiasa bersedia untuk potensi tercetusnya konflik nyata dan untuk peperangan, sama ada daripada konflik di Taiwan atau daripada ketegangan Laut China Selatan.
Tokyo akan memerlukan semua bantuan yang boleh diperolehi, dan untuk mempelbagaikan sumber pakatan. Camp David adalah permulaan yang baik, tetapi Tokyo memerlukan jaminan yang diperluaskan.
Biden telah meminta Kongres untuk tambahan ASD$128juta untuk projek infrastruktur di pangkalan Filipina, dan melihat Filipina sebagai asas geostrategik dalam menghentikan kemaraan China di sempadan utama perairannya, dan menghalang penguasaan selanjutnya di Kepulauan Pasifik dan Pasifik sekiranya konflik bermula. Kepentingan ini mengimbau kembali kepentingan dan peranan strategik yang sama semasa Perang Dunia Kedua.
Kira-kira ASD$100 bilion dalam kemungkinan tawaran pelaburan oleh Washington dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang mencerminkan strategi Washington untuk mengekang alat ekonomi China. Ia menunjukkan alternatif ekonomi dan perdagangan yang semakin berkembang dengan cara yang boleh dipercayai dan berdaya tahan yang disediakan oleh Washington yang boleh menggugat pertalian dan sandaran ekonomi mendalam rantau ini terhadap pasaran dan kuasa ekonomi besar China.
Jepun memerlukan pilihan sandaran baharu, yang lebih mudah dan lebih dekat dari segi geografi dan dalam domain negara fizikal jiran yang akan mendapat sokongan keselamatan yang mampan dan lebih terjamin serta bantuan lain semasa konflik masa nyata.
Manila kekal sebagai pemain paling strategik dan penting dalam konteks ini, kerana ia akan menyediakan barisan pertama sokongan yang diperlukan untuk potensi konflik Jepun dengan China.
Usaha RAA Jepun dengan Filipina menyediakan struktur manfaat bersama kepada kedua-dua pihak, kerana Tokyo akan mendapat manfaat daripada kehadiran yang diperluas di sayap selatannya, yang juga akan melengkapkan kebersamaan kapasiti pangkalan AS sedia ada di Okinawa. Kehadiran Amerika sedia ada dan pangkalan lanjutan di Filipina akan menjadi platform yang sempurna untuk hasrat Tokyo untuk mempunyai unjuran kuasa lanjutan yang lebih terjamin di luar sempadannya.
Oleh itu, Manila dilihat sebagai pertaruhan yang lebih selamat untuk Tokyo untuk mempunyai kehadiran dan unjuran kuasa yang lebih dekat berhampiran Laut China Selatan, berfungsi untuk kehadiran yang lebih strategik dan lebih dekat dengan Selat Luzon yang strategik dan penting, yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Laut China Selatan dan menjadi nadi utama menghubngkan laluan perdagangan ke Asia Timur, Timur Tengah dan Eropah.
RAA itu bertujuan untuk dilihat sebagai mesej kepada pemain serantau bahawa Jepun bersedia untuk melangkaui kaedah tradisional OSA dan ODA dalam usaha untuk memikat rantau ini, dan ia bersedia untuk bergerak lebih mendalam dalam membina kepercayaan dan legasi bantuan yang disalurkan secara ikhlas.
Ia juga bertujuan untuk menghantar mesej kepada Beijing bahawa Tokyo tidak terhad kepada konfrontasi fizikal langsung dengan Beijing secara solo, tetapi ia akan mempunyai sistem sokongan yang mapan secara sah yang akan berdaya tahan dan tahan lama selain daripada sekutu tradisional Amerika.
Jepun ingin menonjolkan bahawa RAA dan OSA akan juga mencipta kesan melimpah kepada pemain serantau lain yang akan tertarik untuk melihat manfaat dan impak yang akan diraih melalui platform dan rangkaian ini.
China melabur dalam usaha besar untuk membina pelabuhan dan pangkalan melalui Belt and Road Initiative, tetapi masih sukar untuk menentukan yang mana yang akan digunakan secara strategik untuk alat unjuran kuasa atau forward power projection. Pelabuhan Ream di Kemboja adalah niat yang jelas, mempamerkan ketenteraan kuasa laut Beijing, seterusnya mencetus tindak balas Jepun dan Barat untuk berlumba mencari sekutu yang lebih kental dan kukuh.
Masa depan kestabilan serantau dan peraturan berasaskan undang—undang dan norma antarabangsa semakin tidak menentu dengan objektif yang tidak berbelah bahagi dari Barat dalam mempertahankan domain ini, dan dengan usaha yang sama oleh Beijing dalam menggandakan pendekatannya untuk mempertahankan kepentingan di rantau ini daripada campur tangan Barat.
Barat dan Amerika, yang tidak mempunyai kelebihan geografi di rantau ini serta terpalit dengan gangguan dan peralihan fokus di Timur Tengah dan Ukraine, terus gusar dan pantas untuk merapatkan jurang sedia ada, dan mencari strategi baharu untuk menangkis momentum dan cengkaman sedia ada oleh Beijing. Usaha ini bakal diberi cabaran dan risiko baharu oleh peningkatan risiko konflik besar-besaran di Timur Tengah yang akan memberikan perubahan percaturan kuasa di Indo Pasifik secara amnya.
*Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Dasar Luar, Strategi dan Keselamatan Universiti Malaya.*
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published