Oleh Collins Chong Yew Keat
KUALA LUMPUR, Malaysia: Lawatan Menteri Luar Negeri Rusia Sergey Lavrov ke Malaysia pada 27 Julai menandakan lanjutan daripada objektif dan perancangan strategik Moscow. Malaysia tetap penting kerana kedudukan dasar yang berkecuali, yang memudahkan perluasan tawaran ekonomi dan pertahanan Rusia ke rantau ini, terutamanya apabila Malaysia akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.
Hubungan baik dengan Rusia pada masa lalu dalam bentuk kerjasama aset pertahanan dan ketenteraan seperti pembelian jet Sukhoi serta usaha angkasawan pada tahun 2000-an, semuanya memudahkan laluan untuk mempertingkat hubungan Moscow-Kuala Lumpur.
Tempoh sekarang dilihat tepat untuk meningkatkan hubungan Rusia-Malaysia kerana Malaysia berusaha untuk mempelbagaikan sandaran ekonomi dan kapasiti pertahanan dan penyertaan BRICS menjadi faktor penting. Penyertaan Malaysia dalam BRICS akan memerlukan sokongan Rusia, dan ini membuka peluang baharu untuk Rusia juga membuka peluang untuk meningkatkan kerjasama.
Rusia juga membuka lembaran strategik baharu dalam rantau ini, ketika ia berusaha untuk memperluas kerjasama dan pengaruh serta sokongan untuk keluar daripada kepompong strategik geografi di Eropah dan Artik.
Asia Tenggara tetap relevan bagi Rusia kerana ia boleh secara langsung meningkatkan saingan terhadap AS dan juga melengkapkan objektif Beijing di rantau ini. Asia Tenggara turut menjadi medan strategik bagi Moscow dalam kepentingan ekonomi, selain daripada sandaran konvensional domain pertahanan dan ketenteraan.
Pelaku strategik tradisional terutamanya Vietnam dan India menjadi sandaran penting, namun Rusia turut ingin memperluaskan momentum anti-Barat melalui BRICS dan penglibatan dengan ASEAN. Malaysia dilihat sebagai pemain kritikal dalam aspek ini untuk mengekalkan konsep berkecuali ASEAN yang dapat menafikan ruang bagi percaturan AS.
Selain daripada perkongsian sejarah yang mendalam dengan Vietnam terutamanya dalam bidang keselamatan dan pertahanan, Moscow ingin memperluas persahabatan dan kerjasama dengan pemain lain dan terutamanya mengukuhkan hubungan dengan ASEAN.
Rusia juga memuji pendirian seimbang Malaysia dalam konflik Ukraine semasa lawatan tersebut. Moscow melihat rantau ini sebagai kritikal dalam menafikan ruang kepada mekanisme Barat termasuk AUKUS dan the Squad, dan tidak mahu ketinggalan dalam perebutan kuasa Eropah dan mungkin NATO dalam memperkasa power presence dalam rantau ini.
Rusia ingin menampilkan naratif dan perspektif yang berbeza dalam membezakan dirinya daripada AS. Rusia ingin dilihat dan diterima oleh rantau ini sebagai faktor keterjalinan ekonomi dan sumber termasuk keselamatan tenaga dan makanan, dan juga sebagai jaminan pertahanan dan keselamatan, walaupun kebimbangan mengenai Ukraine berterusan.
Eropah secara tradisinya telah menjadi teater strategik yang paling penting bagi Rusia.
Perluasan NATO ke timur Eropah telah memberikan tamparan hebat kepada cita-cita dan sejarah Rusia di Eropah. NATO menggalas tanggungjawab untuk keselamatan Eropah, dan sejak itu, Rusia merasakan bahawa NATO tidak pernah melepaskan hasratnya untuk mengepung Rusia dan memenangi konflik masa depan dengan Rusia.
Benua Artik sebagai Kelebihan Geopolitik Baharu Moscow
Pelaburan Rusia dalam projek sumber tenaga di Artik adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh melangkaui faktor geografi asas sekarang yang kebanyakannya tertumpu kepada laluan perdagangan konvensional yang melalui Timur Tengah, Lautan Hindi dan Laut China Selatan.
Pendapatan dari pelaburan ini di Artik dan Indo-Pasifik diharapkan dapat membantu mempertahankan kemampuan pertahanan Rusia yang diperlukan untuk menyeimbangi NATO. Eksploitasi kekayaan di Artik ditingkatkan oleh Rusia dalam pasca-Soviet dan Perang Dingin.
Minyak dan gas kekal sebagai tonggak utama dalam memulihkan percaturan dan struktur ekonomi Rusia pada awal tahun 2000-an.
Peranan minyak dan gas dalam hasrat Artik Rusia melonjak pada tahun 2006 sebagai sebahagian daripada agenda Kremlin untuk menjadikan negara itu sebagai "kuasa besar tenaga" dan untuk melicinkan kemasukan sebagai ahli dalam G8 pada masa itu.
Ia akan memberi Kremlin peluang untuk mempelbagaikan dasar tenaganya dengan menghubungkan Artik ke pasaran di Asia, dengan itu mengurangkan kebergantungan negara itu pada Eropah sebagai pasaran tenaga kritikal dan pada Ukraine sebagai saluran kritikal ke pasaran tersebut.
Potensi Artik utara yang terbatas pada masa lalu yang telah menghambat potensi geostrategik Moscow, di mana laluan dan navigasi masih terhad disebabkan oleh julat dan tempoh masa laluan yang terhad pada musim panas sahaja. Namun, perubahan iklim telah pantas mengubah struktur ais dan kini ia telah menjadi salah satu pembukaan yang paling menarik dan bermanfaat bagi Moscow. Ini dimanfaatkan dengan baik oleh pemikir strategik di Kremlin dengan pembentukan Arctic Strategy 2035.
Peningkatan suhu yang menggalakkan laluan baharu Northern Sea Route (NSR) di sepanjang garis pantai Artik Rusia memberikan Moscow peluang untuk mempelbagaikan dasar tenaga. Ini membolehkan Rusia untuk memendekkan laluan perdagangan dari China dan Timur ke pelabuhan Eropah, menjadikan ketergantungan kepada Terusan Suez dan Selat Melaka secara strategiknya, lebih terurus. Ini bukan sahaja memberikan nafas strategik baharu kepada Moscow tetapi juga untuk Beijing. Pulangan berangkai ini juga memberikan kesan fallback option kepada kedua-dua kuasa tersebut.
Dengan menghubungkan Artik Rusia ke pasaran di Asia, ia juga membantu mengurangkan kebergantungan negara itu pada Eropah sebagai pasaran tenaga kritikal dan membuka jalan baru untuk pasaran baru di Asia Selatan dan Asia Tenggara yang sedang berkembang untuk eksport tenaga melalui laluan laut.
Percaturan geostrategik seterusnya ini akan dipertahankan untuk memastikan jaminan wilayahnya, dengan fokus di sekitar Kola Peninsula dan meningkatkan kapasiti anti access/area denial (A2/AD) terhadap pasukan AS dan NATO.
Rusia turut bersandarkan kepada Northern Fleet Joint Strategic Command dalam memastikan bahawa percaturan strategik ketenteraan baru akan memberikan pilihan sokongan daya tahan dalam mempertahankan kepentingan Moscow di mana ais yang mencair dan mobiliti yang meningkat akan memberikan pilihan serangan baharu dan meningkatkan kapasiti second strike dalam usaha cegah rintang di Kola Peninsula.
Ini mengundang langkah balas dari NATO di mana ia menyasarkan aset ketenteraan Rusia yang dipasang di negara-negara Baltic melalui capaian dan lingkungan longer range precision weapons oleh NATO.
Ketahanan Jangka Panjang Moscow
Dengan dataran terbuka yang luas yang kekurangan penghalang semula jadi terhadap ancaman serangan luar, ditambah dengan tekanan NATO dan AS yang berterusan dari Barat serta perangkap di sayap utara Rusia (Artik) yang memiliki kapasiti laluan yang terbatas, Rusia tersepit dan terperangkap dalam kapasiti strategik geopolitik.
Ini mendorong pencarian warm water ports yang strategik untuk unjuran kuasa ekonomi dan ketenteraan serta jaminan kelangsungan negara. China dan Asia Tengah tetap menjadi aset dan sekutu positif buat masa ini, diperkukuh lagi dengan No Limits Ties dengan Beijing.
Keperluan kelangsungan strategik yang sama membentuk dasar hubungan semasa, berpaksikan kepada keperluan China untuk berfungsi sebagai penghalang semula jadi di sayap selatan Rusia dan untuk meneruskan cengkaman Moscow dan pengaruhnya terhadap negara-negara Asia Tengah untuk menghalang sebarang pengaruh Barat yang berpotensi untuk menjadi risiko dan ancaman dari kawasan geografi tersebut, selain Eropah Timur.
Dalam perhitungan keseimbangan kuasa dan kapasiti ketenteraan masa depan, krisis di Ukraine dilihat tidak akan menjejaskan kuasa komprehensif Rusia dari segi kuasa total, di mana Rusia masih bersandarkan kepada sekutu Korea Utara dan China dan juga jamina strategik perluasan pengaruh di rantau lain termasuk Asia Tenggara dan Afrika.
Kelebihan yang juga akan memberikan manfaat kepada Rusia termasuk jaminan sumber tenaga dan keselamatan makanan yang akan dinikmati oleh negara tersebut melalui perolehan daripada impak positif geografi yang dimiliki, terutamanya daripada geografi Siberia yang akan memberikan suntikan dan pulangan positif dari segi pembangunan sumber makanan dan dan gandum yang dibantu oleh perubahan iklim dalam membuka ruang jaminan sumber makanan.
Perang Georgia pada tahun 2008 membuktikan bahawa walaupun di sebalik prestasi tentera Rusia yang kurang memuaskan, ia menggalakkan transformasi dan pembaharuan dalam percaturan ketenteraannya, yang menghasilkan perubahan yang diinginkan seperti yang dilihat dalam pengambilan Crimea di 2014 dan campur tangan di Syria.
Abad yang akan datang akan memberikan perspektif dan pembukaan baharu yang berbeza bagi Moscow, dan ia menyedari bahawa ia perlu menghadapi Barat yang mungkin merudum dari segi ekonomi dan China yang telah bangkit dalam kuasa ketenteraan.Ini memberikan percaturan baharu dan spektrum lain dalam persaingan panjang dengan China kelak.
*Collins Chong Yew Keat ialah penganalisis keselamatan dan strategi di Universiti Malaya.*
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published