KUALA LUMPUR, Malaysia--Bagaimanakah kita harus bersikap dalam menjalani penghidupan ini? Banyak kali terjadi dalam kehidupan kita, ujian demi ujian yang datang menimpa sehinggakan kita bertanya, “kenapakah aku dilahirkan sebegini?” atau “kenapa aku tidak dilahirkan dalam istana raja?” ataupun “kenapa aku yang Allah sentiasa uji?” dan “apakah dosa aku?”.

Perkara ini pasti akan membuatkan emosi kita terganggu. Perkara ini menyebabkan budi bicara kita menjadi cacat. Perkara ini menyebabkan perasaan kecewa terhadap diri sendiri dan keadaan sekeliling. 
 
Pemikiran kita berbolak-balik, cuba merasionalisasikan cabaran yang sedang dihadapi dan matlamat hidup yang ingin dicapai. Permasalahan yang dihadapi terasa sangat sukar dan setinggi gunung. Menjadikan diri kita dalam keadaan tertekan dan depresi.

Ketahuilah bahawa penghidupan ini adalah suatu proses. Mari kita lihat firman Allah dalam Surah Yaasin: ayat 36 yang berbunyi:
Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia.
Surat Yassin (36) ayat 82.  

Tiada perkara magis dalam ajaran Allah. Semuanya harus didasari dengan ilmu. Setiap perkara ini terjadi menurut hukum alam. Ketika Allah hendak menjadikan seorang manusia di dunia ini, manusia itu tidaklah lahir dengan sekelip mata. 
 
Manusia itu perjalanan kejadiannya dimulai dengan sperma, seterusnya kepada proses persenyawaan telur dan sebagainya seperti yang tertulis dalam firman berikut:
12.  Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah.
13.  Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim).
14.  Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.
Surat Al-Mu’minun (23) ayat 12-14

Di dalam ayat ini Allah telah menjelaskan proses kejadian manusia dalam 6 tahapan dan mengambil masa selama sembilan bulan. Inilah aturan atau proses yang telah ditetapkan oleh Allah. Tiada manusia yang mampu mengubah proses ini. Perkara yang sama juga terjadi kepada semua penghidupan di bumi ini. Ketika manusia ingin menikmati nasi, beras itu harus dituai dari padi. Dan padi itu sendiri mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk mengeluarkan hasilnya. Inilah hukum alam yang telah ditetapkan dan perkara yang sama juga menjadi aturan dalam penghidupan manusia sehari-hari.

Jadinya kita tidak harus kecewa atau putus asa dengan apa sahaja cabaran dan masalah yang sedang dihadapi. Kita semua sedang melalui proses penghidupan dan tiada jalan pintas terhadap proses ini. Perkara yang penting adalah untuk kita memahami perkara atau proses yang harus berlaku dalam sesuatu perkara.

Contohnya seperti dalam perlaksanaan sesuatu projek bangunan, pertama sekali ianya harus dimulakan dengan kerja perancangan. Perancangan kerja disediakan menurut proses-proses dan tahapan yang perlu berlaku. Dimulakan dengan rekabentuk, persediaan tanah, kerja foundasi atau cerucuk, kerja struktur tiang, kerja atap, dinding, tingkap, mengecat dan sebagainya. 
 
Tidak mungkin kita dapat menyiapkan atap tanpa perlu disiapkan tiangnya terlebih dahulu. Kesemuanya ini ada dijelaskan dalam firman Allah seperti berikut:
 
Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
Surat Ash-Sharh (94) ayat 7.  

Bermaksud, kita harus teliti dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Semuanya harus berlaku dengan dasar ilmu dan kesungguhan. Ketahuilah dan terimalah bahawa terdapatnya penyelesaian terhadap segala masalah dan penyelesaian itu akan datang melalui proses atau tahapan yang telah ditetapkan oleh Sang Pencipta dan Penguasa alam ini. Perjalankanlah proses itu dengan sebaiknya.

Sebagai lumrah seorang manusia, kita tidak leka dari sifat lupa dan lalai. Terdapat situasi bilamana kita buntu dalam memahami permasalahan atau cabaran yang ada. Kita hilang punca serta menjadi bingung. Kita tidak tahu bagaimana ingin diteruskan penghidupan itu. Masalah yang dihadapi terasa sangat besar.

Adakalanya dalam melalui sebuah perjalanan hidup ini, kita pasti akan hilang punca. Allah telah menjelaskan bahawa akan terdapat suatu saat di mana kita tidak akan dapat berasional dalam pemikiran kita terhadap sesuatu perkara, namun kita masih tetap perlu berjalan atau melakukan sesuatu, lantas Dia menyeru untuk kita mengikut wahyu yang mengandungi essensi sebagai sebuah pelajaran dan memberikan panduan. Dan kita meneruskan apa sahaja yang berlaku selepas perkara tersebut. Dan perkara tersebut menjadi Qada dan Qadar dalam penghidupan kita.