Oleh Pn Tijah Yok Chopil

KUALA LUMPUR, Malaysia: Berikut ada lah pandangan atau pendapat kami berkenaan isu yang dibangkitkan oleh YB Dato' Ramli semalam. Menurut YB Ramli, sebab kenapa selama ini tanah dan wilayah adat (WTA) Orang Asli tidak diiktirafkan dan isu-isu yang berbangkit dengannya tidak diselesaikan, dan kesan daripada itu, pembangunan Orang Asli terpinggir, ialah kerana tanggungjawab menjaga kebajikan Orang Asli diletak di bawah Senarai 1 Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, bermakna tanggungjawab tersebut hanya terletak pada Kerajaan Persekutuan. 

 Sehubungan ini, Kerajaan Negeri, yang mana tanah terletak di bawahnya, tidak mempunyai punca kuasa untuk mengiktirafkan WTA Orang Asli dan menyelesaikan isu2 yang berbangkit dengannya. Justeru, untuk menyelesaikan kekangan ini, YB Ramli bercadang untuk kebajikan Orang Asli dipindahkan dari Senarai 1 ke Senarai 3 (Senarai Bersama) supaya, dengan ini, Kerjaan Persekutuan dan Kerajaan2 Negeri sama-sama mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan Orang Asli.

 Sedangkan :

  1. Dalam Senarai 3 Jadual 9 telah ada dimasukkan kebajikan "masyarakat". Ini bererti kebajikan semua kaum di negara ini, termasuk Orang Asli memandangkan Orang Asli adalah rakyat Malaysia, adalah juga menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri. Justeru, Kerajaan Negeri sudah pun ada punca kuasa untuk menjaga kebajikan Orang Asli.
  1. Kuasa pengiktirafan tanah untuk Orang Asli disebut di bawah Perkara 8(5)(C) Perlembagaan Malaysia. Begitu juga, Akta 134 memberi kuasa untuk Kerajaan Negeri mewartakan tanah sebagai kawasan dan rizab Orang Asli. Justeru, tidak ada sebab kenapa Kerajaan Negeri tidak boleh mengiktirafkan WTA Orang Asli
  1. Perkara 153 Perlembagaan Malaysia adalah berkenaan tanggungjawab wajib Yang Dipertuan Agong untuk memastikan pemberian kuota bagi perkerjaan di sektor awam, biasiswa, tempat di institusi pengajian tinggi, dermasiswa, latihan dsbnya, permit/lessen perniagaan/perdagangan untuk Orang Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak. Walau pun Orang Asli tidak dimasukkan di bawah Perkara ini, bagi kami, ianya sebenarnya bukanlah alasan utama untuk peminggiran Orang Asli kerana adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan, Persekutuan dan Negeri, untuk membantu semua kaum di Negara ini, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan, contohnya seperti Orang Asli.
  1. Jadi, apakah tidak termasuknya Orang Asli dalam Senarai 3 Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan tetapi hanya diletakkan di bawah Senarai 1 jadual 9 merupakan alas an kukuh selama ini untuk hak WTA Orang Asli tidak diiktirafkan dan pembangunan mereka terpinggir? Bagi kami, jawabannya 'tidak'. Isu perminggiran Orang Asli itu sebenarnya adalah persoalan ''mahu atau tidak atau pilih kasih dan hak serta kepentingan Orang Asli tidak dipandang serius atau diberi keutamaan'
  1. Contoh nya di bawah Perkara 91 Perlembagaan Malaysia, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tanah Negara pada 2009 boleh dan telah meluluskan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli. Justeru, siapa kata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak boleh kerjasama dalam mengiktirafkan WTA Orang Asli.
  1. Perkara 83 Perlembagaan Malaysia juga memperuntukkan bahawa, Kerajaan Persekutuan (jika ada kemampuan) boleh membeli atau memohon tanah untuk tujuan tertentu (awam) dari Kerajaan Negeri dan melalui Perkara ini, boleh  memperolehi tanah untuk diberikan kepada Orang Asli.
  1. Contoh seterusnya ialah Felda. Walaupun ia adalah sebuah ajensi Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri telah pun memberikan tanah kepada ajensi tersebut untuk melaksanakan skim2 perladangannya. Jika Felda boleh diberi tanah oleh Kerajaan Negeri, kenapa Orang Asli pula tidak boleh?.
  1. Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah banyak memberi kemenangan dan pengiktirafan hak WTA Orang Asli dalam kes-kes yang dibawa Orang Asli. Justeru, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan haruslah menerima kenyataan ini dan memberi perakuan bahawa Orang Asli sememangnya mempunyai hak keatas WTA mereka.
  1. Sepatutnya keputusan kes-kes tanah ini dikanunkan sebagai undang-undang bertulis untuk memberi pengiktirafan keatas WTA Orang Asli, bukan mencari alasan disebabkan perkara-perkara tertentu, yang sebenarnya bukan merupakan kekangan, dan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda. Bagi kami, punca sebenarnya WTA Orang Asli tidak diiktirafkan adalah sebab ketiadaan azam atau kemahuan atau keseriusan Kerajaan, ahli-ahli politik yang telah dipilih rakyat yang duduk dalam Parlimen untuk mengiktiraf dan memelihara hak dan kepentingan Orang Asli.
  1. Berkenaan kebajikan Orang Asli pula, sekiranya Kerajaan Negeri pun perlu masuk campur dalam hal ini, persoalannya apa akan terjadi dengan fungsi JAKOA?. Juga, apakah benar kerana kebajikan Orang Asli tidak dimasukkan dalam Senarai 2 (Senarai Negeri) Perlembagaan Persekutuan maka Kerajaan Negeri tidak ada punca kuasa untuk menjaga kebajikan Orang Asli Bukan kah Orang Asli juga adalah rakyat Kerajaan2 Negeri dan oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memajukan dan mengambil berat terhadap Orang Asli? Apalah sangat kaitannya dengan Perlembagaan Persekutuan?.
  1. Sekali lagi kami ingin nyatakan bahawa, pada pendapat kami, perkara/isu ini sebenarnya berbalik kepada 'azam, tekad atau kemahuan' Ahli - Ahli politik yang telah dipilih rakyat samada mereka serius mahu memperduli/mengambil berat tentang hak dan kepentingan Orang Asli sebagaimana hak masyarakat lain, atau Orang Asli hanya sekadar diperlu untuk memberi undi ketika pilihanraya.
  1. SUHAKAM telah mengutarakan 18 syor hasil daripada Inkuiri Kebangsaan Tanah Orang Asli/Asal pada 2012 dan syor-syor tersebut telah pun diterima oleh Kerajaan sebelum ini. Kerajaan hendaklah menunaikan janjinya untuk laksanakan syor-syor ini secepat yang mungkin jika betul-betul mengambil berat soal kebajikan dan pembangunan, dan pengiktirafan hak Orang Asli, bukannya sekadar atau terhenti kerana tidak meminda Perlembagaan.

 Sekian.

 *Pn Tijah Yok Chopil ialah  Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysias (JKOASM).*