Oleh Arun Doraisamy

KUALA LUMPUR, Malaysia-Kami warga Malaysia dan wakil pertubuhan-pertubuhan di Malaysia ingin membantah dengan hormatnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tuan Ahmad Marzuk Shaary mengenai usulan Penggubalan Undang-Undang Untuk Menyekat Dan Mengawal Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Dan RUU 355.

Walau bagaimanapun, Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi telah mengelirukan rakyat dengan kenyataan “… usulan ini belum dibawa kepada Jemaah Menteri lagi”.

YAB, kenyataan ini menunjukan bahawa terdapat cadangan dan usaha dalaman yang sedang dijalankan untuk menggubal satu rang undang undang untuk menyekat perkembangan agama-agama bukan Islam.

YAB, kenyataan-kenyataan ini mengejutkan, mengelirukan dan mewujudkan rasa prasangka terhadap kerajaan baru ini dan kebimbangan terhadap pencabulan terhadap hak kebebasan beragama di negara ini.

YAB, Perlembagaan Persekutuan Perkara 11. Mengiktiraf kebebasan beragama.(1) Tiap-tiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

YAB, kami juga ingin membantah sekeras-kerasnya usaha pengenalan semula RUU 355 yang telah ditolak beberapa kali sebelum ini. Pengenalan ini bukan berniat untuk memperkasakan Perundangan Syariah di negara ini, tetapi ini adalah satu serangan terhadap hak asasi rakyat Malaysia yang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, Aspirasi Bapa-Bapa Kemerdekaan dan Perjanjian  Malaysia dengan negara Sabah dan Sarawak. Kami ingin menekankan bahawa Perlembagaan Malaysia adalah suatu perlembagaan yang sekular untuk semua rakyat Malaysia.

YAB, rakyat memerlukan bantuan, peluang pekerjaan, vaksin, pemulihan ekonomi dan harapan untuk suatu masa depan yang cerah. Rakyat tidak seharusnya ditekan dengan isu-isu sebegini yang boleh menggugat ketenteraman negara. YAB, kami memohon agar YAB dapat membuat satu kenyataan untuk menerangkan keadaan sebenarnya.

 
*Arun Doraisamy adalah sekretariat Gabungan NGO- NGO Malaysia*