KUALA LUMPUR, Malaysia: Saya merujuk kepada kenyataan media daripada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertarikh 27 Mei 2024 dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, En Rahim Kasdi, bertarikh 2 Jun 2024.
 
Kedua-duanya menggambarkan bahawa Kampung Sri Makmur ini adalah kawasan setinggan dan memberi sejarahnya dari tahun 2006. Sebenarnya, kampung ini telah didirikan oleh penduduk kampung sejak tahun 1986. Pada masa itu, kerajaan semasa melalui parti UMNO terlibat sehingga terbentuknya Dewan UMNO serta kemudahan asas seperti elektrik dan air. 
 
Terma setinggan ini tidak tepat untuk Kampung Sri Makmur yang memang diiktiraf dengan adanya kemudahan-kemudahan sebegini. Inilah sebabnya PSM mengambil kira kampung ini sebagai kampung peneroka bandar. Memang diiktiraf bahawa dari tahun 2006 ada cubaan merobohkan kampung ini dalam program Setinggan Sifar yang dipelopori kerajaan Khir Toyo. 
 
Akan tetapi, polisi ini ditentang oleh parti-parti yang menggangotai Pakatan Harapan sekarang yang seakan-akan menyokong pandangan Parti Sosialis Malaysia di mana setiap peneroka bandar patut ditawarkan rumah ganti atau pampasan adil sebelum rumah mereka sekarang dirobohkan.
 
Kerajaan Pakatan Rakyat yang mengganti Barisan Nasional pada tahun 2008 membawa suatu polisi baharu yang sepatutnya menghentikan pengusiran paksa peneroka bandar dan memang memeterai hak mereka mendapat rumah ganti atau tawaran adil.
 
Balik kepada tahun 2006/2007, diiktiraf penduduk kampung memang mendapat tawaran Rumah Kos Rendah (RKR) pada masa itu dan ada yang mengambilnya. Akan tetapi, sebahagian besar penduduk asal tidak mampu dan tidak layak mendapat pinjaman perumahan bagi menampung kos membeli rumah ini.
 
Dari masa itu, penduduk kampung berusaha berbincang dengan pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan penyelesaian yang sepatutnya.
 
Diiktiraf juga bahawa hanya peneroka bandar yang mendiami rumah mereka di kampung ini yang layak menerima sebarang pampasan. Dari tahun 2006, ramai penduduk asal kampung telah keluar dan ramai lagi yang menyewa rumah mereka kepada orang luar. Juga diiktiraf ramai penduduk kampung kini bukannya penduduk asal. Kumpulan penduduk yang PSM bantu adalah seramai 27 keluarga. 
 
Kami terlibat dari tahun 2020 dan sampai sekarang, 4 daripada keluarga ini pun telah keluar daripada kampung walaupun sukar bagi mereka juga. Sekarang tinggal 23 keluarga. Kumpulan ini memang adalah penduduk asal kampung dan yang selainnya, lebih 100 keluarga, tidak dibantu PSM dan saya tidak tahu jika mereka penduduk asal atau tidak. Ada kemungkinan mereka juga penduduk asal.
 
Dari tahun 2006/2007, cubaan penduduk kampung berbincang tidak berbalas sehinggalah keluarnya notis pengosongan pada 5 Ogos 2020. Pada masa yang samalah PSM pun terlibat membantu orang kampung. Bersama, kami membuat rayuan kepada pihak pejabat Menteri Besar Selangor. Cubaan perundingan ini amat panjang dan tidak selalunya berbalas daripada pihak kerajaan negeri.
 
Pada Februari 2021, pihak PKNS mengeluarkan suatu senarai nama penduduk 22 keluarga yang layak diberi pampasan. Senarai ini dibantah penduduk kampung atas sebab nama yang ada telahpun mendapat pampasan sebelum ini dan penduduk asal yang sememangnya layak serta masih menetap di kampung tidak tersenarai.
 
Sampai Mac 2022, pelbagai cara rundingan dengan pihak Pejabat Menteri Besar dicuba oleh pihak kampung. Pada masa yang sama, wakil pihak YAB Dato’ Menteri Besar, iaitu En
 
Rahim Kasdi sendiri, memaklumkan bahawa pihak kerajaan sudah pun menyediakan sebanyak 30 unit rumah di pangsapuri RSKU Sri Temenggung untuk pemindahan Kampung Sri Makmur tetapi tiada apa- apa maklum balas rasmi.
 
Diiktiraf Writ Pemilikan telah dikeluarkan kepada PKNS oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Disember 2023 tetapi sebelum itu penduduk telah berhimpun di SUK Selangor menghantar memorandum ke Menteri Besar Selangor menuntut perbincangan dengan penduduk sebanyak 2 kali (pada 30 Mac 2020 dan 30 Ogos 2023). Pada masa yang sama, penduduk kampung memang berhubung dengan En Rahim Kasdi supaya maklumannya itu terhasil.
 
Diiktiraf pada 21 Mei 2024, senarai 21 nama penduduk asal dikeluarkan untuk mendapat tawaran pembelian seunit RSKU Seri Temenggung dengan harga subsidi RM 65,000 bersama sagu hati “ex-gratia” RM 1000. Terdapat 3 isu di sini. 
 
Pertama, senarai ini tidak termasuk 10 keluarga yang memang penduduk asal. Ada percanggahan dalam data bancian yang penduduk kampung menekan dengan bukti penempatan mereka dan rayuan bersama bukti telah dipanjangkan ke pejabat Menteri Besar serta pemaju. Proses yang adil adalah mengambil kira bukti penduduk ini dengan rundingan. Tetapi pihak kerajaan negeri terlalu dingin dan hanya mengikut data mereka sahaja.
 
Kedua, surat tawaran dikeluarkan pada 21 Mei 2024. Tawaran ini ditandatangani pada 24 Mei 2024 (Jumaat). Perobohan berlaku pada 27 Mei 2024 (Isnin). Bilakah pihak PKNS berasa penduduk ini dapat keluar dari rumah mereka?
 
Cek sagu-hati pun tidak sempat ditunaikan sebab dapat pun pada petang Jumaat lepas. Yang dapat tawaran pun belum melalui proses cabut unit, lulus pinjaman dan tandatangani SPA. Mereka sekarang gelandangan. Adakah ini dipanggil adil?
 
Ketiga, pihak PKNS menyatakan pemberian rumah ini adalah atas ehsan kerajaan negeri. Ini adalah gambaran yang menghina penduduk kampung. Prosedur pemberian rumah ganti adalah polisi yang dibawa kerajaan negeri sendiri berdasarkan hak peneroka bandar yang diiktiraf. PKNS pula adalah perbadanan kerajaan negeri sendiri dan merekalah pemilik tanah. 
 
Jadi, kini tidak masuk akan jika PKNS menyatakan isu ini adalah luar bidang kuasa mereka. Bukankan sebagai pemilik tanah PKNS berhak menghentikan perobohan sehingga isu penduduk selesai. Ataupun adakah PKNS diarah kerajaan negeri merobohkan sahaja kampung ini?
 
Kini, pihak penduduk kampung berterima kasih kepada En Rahim Kasdi yang sekali lagi menyatakan komitmennya kepada kebajikan penduduk kampung dan sanggup berbincang dengan mereka untuk rancangan penempatan semua mereka selepas perobohan kampung. 
 
Penduduk kampung jelaskan bahawa mereka memerlukan penempatan semua sementara dalam bentuk penyewaan dan penempatan semula kekal iaitu penyediaan tawaran pembelian rumah RSKU Seri Temenggung.
 
Penempatan semula kekal ini telah berjaya disediakan untuk 14 daripada 23 keluarga dan hanya tinggal 9 keluarga yang tercicir. Penempatan semula sementara diperlukan oleh semua 23 keluarga. Ini sahaja yang ditanya, suatu solusi yang amat senang, tidak perlu dirumitkan. Moga En Rahim Kasdi segera usahakan.
 
*Arveent Kathirtchelvan ialah Penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM) Gombak.*