Source Aliran

GEORGETOWN, Malaysia--Terlebih dahulu kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada tindakan-tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terutamanya di Pulau Pinang ke atas kejadian pencemaran di sungai-sungai dan di tapak pelupusan sampah dalam dua tahun yang lepas.

Mengikut artikel “Projek PIL 1: Pulau Pinang mohon lanjut tempoh sah laku EIA“, kerajaan Pulau Pinang sedang memohon lanjutan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang sudah luput tarikhnya pada 10 April 2022.

Kami bantah pembaharuan atau lanjutan penilaian impak alam sekitar Pan Island Link untuk sebab-sebab yang berikut:

1. Penang Forum telah menghantar melalui emel lebih daripada 2,000 surat bantahan (yang ditandatangani oleh lebih daripada 2,000 individu yang membantah) kepada ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar dalam surat bertarikh 20 September 2018, dan surat-surat itu diserahkan dengan tangan kepada Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), pada 21 September 2018 dalam acara ‘town hall’ di dewan Spice, Pulau Pinang, di depan lebih daripada 800 hadirin. Akan tetapi surat-surat bantahan itu kononnya telah diabaikan oleh menteri Mestecc dan juga ketua pengarah JAS.

2. Pada masa yang sama, Penang Forum juga telah serahkan sebab-sebab bantahan melalui laporan “Feedback on the EIA report for the proposed Pan Island Link phase 1 project” setebal 38 mukasurat yang telah disediakan dengan tungkus-lumus oleh ahli-ahli Penang Forum, termasuk mantan profesor, dan pakar sains, pakar sains sosial dan pakar alam sekitar. Laporan itu juga diemel dan dihantar kepada menteri Mestecc dan ketua pengarah JAS. Dukacitanya, Penang Forum tidak pernah mendapat maklumbalas yang terperinci ke atas ‘laporan feedback’ itu.

3. Lanjutan tempoh tamat EIA Pan Island Link akan meletakkan duluan (precedent) yang buruk untuk masa depan dan boleh dilihat oleh orang awam sebagai satu penyalahgunaan kuasa yang akan mencemarkan nama baik JAS.

Kami berharap bahawa JAS akan terus menegakkan piawaian alam sekitar yang tertinggi tanpa rasa takut atau pilih kasih, demi rakyat dan generasi mendatang.

*Dr Lim Mah Hui dan Khoo Salma Nasution menulis surat ini bagi pihak Penang Forum dengan salinan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.*