Oleh IDEAS & Center for Market Education

KUALA LUMPUR, Malaysia--Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Center for Market Education (CME) menzahirkan kebimbangan terhadap kekurangan perbahasan sekitar permasalahan ekonomi politik dan kesan jangka panjang dasar-dasar yang dilaksanakan.

IDEAS dan CME mendapati bahawa suatu perbincangan yang positif dan bersemangat sedang berlangsung mengenai pilihan raya umum yang akan datang (PRU15), kepimpinan parti serta hubungan antara gabungan parti-parti pemerintah dan pembangkang (Memorandum Persefahaman). 

 
Namun, keputusan dasar yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang dilakukan tanpa perbahasan yang sihat dan tepat dalam kedua-dua gabungan kerajaan dan pembangkang.

Ketua Pegawai Eksekutif kedua-dua badan pemikir ini, Tricia Yeoh dan Carmelo Ferlito, ingin menarik perhatian awam terhadap beberapa keputusan dasar ekonomi yang baru-baru ini telah diambil, diumumkan dan dilaksanakan tanpa perbahasan yang wajar serta tanpa renungan yang waras kepada potensi negatif jangka panjang akibat yang tidak diingini.

Beberapa keputusan dasar ekonomi yang diambil tanpa perbincangan awam yang serius termasuk pengeluaran KWSP yang telah menyaksikan penyusutan wang simpanan KWSP sebanyak RM40 bilion dalam sekelip mata, meletakkan kestabilan kewangan pada masa hadapan dan juga simpanan wang persaraan isi rumah yang miskin dalam risiko. 
 
Kedua, pengurusan MySejahtera yang teruk, menyebabkan sejumlah data yang amat besar dalam pemilikan kerajaan yang berpotensi untuk disalah guna lalu mengakibatkan kadar kepercayaan masyarakat awam yang lebih rendah terhadap institusi kerajaan. Ketiga, harga siling ayam yang mungkin menyebabkan insentif negatif kepada bekalan ayam. 
 
Keputusan dasar ekonomi lain adalah harga siling ujian RTK dan semakan gaji minimum; semua dasar di atas memerlukan perbahasan awam yang bermakna dan libat urus yang menyeluruh bersama pemegang taruh berkaitan. 
 
Kami menggesa pelaksanaan semula perbahasan dasar, yang kami percaya amat penting kepada proses penting membuat keputusan ekonomi dalam masa terdekat.  

Tujuan kenyataan media ini dikeluarkan bukan untuk menyatakan pendirian terhadap permasalahan yang dinyatakan, tetapi untuk menegaskan bahawa keputusan penting sebegini tidak boleh dilakukan dalam konteks kecemasan dan tanpa perbahasan sewajarnya. 
 
Tindakan melulu sebagai respons kepada kecemasan membuatkan pembaharuan struktur tidak dapat dilaksanakan; malah, mengelak daripada melihat kepada implikasi jangka masa panjang yang menjejaskan laluan pertumbuhan Malaysia serta mengalihkan kos keputusan yang diambil ini kepada generasi masa hadapan.

Kesimpulannya, IDEAS dan CME mengajak semua parti politik untuk meningkatkan tahap libat urus keputusan dasar ekonomi mereka agar pilihan yang lebih baik untuk kebajikan rakyat dapat diambil dan proses pertumbuhan ekonomi dapat diletakkan pada asas yang kukuh.