Oleh GERAMM

KUALA LUMPUR, Malaysia--Pihak polis dari Bukit Aman dilaporkan telah memanggil wartawan dari portal Free Malaysia Today terkait artikel memetik sumber yang mendedahkan kelemahan operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Taman Seri Muda, Selangor.

Difahamkan satu laporan polis telah dibuat oleh Nadma berdasarkan artikel bertarikh 21 Disember tersebut.

Geramm tegas mempertahankan hak media untuk bertanya dan menimbulkan persoalan dalam menjalankan tugas tanpa sebarang gangguan atau tekanan, manakala pihak-pihak berkaitan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memberikan penjelasan.

Kami turut tegas dengan tuntutan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai mekanisme kawalan kendiri (self-regulation) dan platform menyelesaikan sebarang pertikaian dengan media, tanpa melibatkan siasatan pihak berkuasa.

Pada masa yang sama, kami turut memaklumi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menyiasat setiap laporan yang diterima, termasuk merakamkan kenyataan pihak-pihak berkaitan.

Dalam konteks artikel yang memetik sumber tidak dinamakan (anonymous), perlu diingatkan bahawa mana-mana pengamal media berhak untuk menjaga kerahsiaan identiti sumber berita - prinsip asas kebebasan media yang turut disahkan menerusi duluan (precedence) di mahkamah Malaysia.

Geramm juga berharap pihak berkuasa akan bertindak telus dengan memaklumkan kepada pihak media yang dipanggil samaada kenyataan mereka akan dirakam sebagai saksi untuk membantu siasatan atau sebaliknya, laporan polis telah dibuat ke atas mereka oleh mana-mana pihak.

Ini akan membantu pihak media untuk membuat persiapan, termasuk menggunakan hak untuk ditemani oleh peguam, serta mempercepatkan keseluruhan proses rakaman kenyataan.

PS: Hari ini lapan tahun lalu Geramm pertama kali turun ke jalan bersama ratusan #kawangeramm untuk Protes Pensel Merah.

Tuntutan-tuntutan kami atas nama mengangkat kebebasan media masih sama, bersama kawan-kawan lama dan baru.