Oleh Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR, Malaysia--Kerjasama ini membuka ruang untuk semua parti politik dalam negara melibatkan diri dalam usaha memerangi COVID-19, selaras dengan konsep "whole of nation" dan "whole of society" yang diamalkan oleh kerajaan, dan mengembalikan fokus kita kepada keutamaan yang sebenar, iaitu rakyat.


Pertelagahan politik yang berterusan tidak memberi manfaat kepada rakyat. Sekarang adalah masa untuk semua pihak duduk dalam satu saf yang sama dan menggembeling seluruh tenaga yang ada demi memastikan kita menang bersama dalam melawan pandemik yang melanda.

Pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin juga selaras dengan komitmen kita untuk meneruskan reformasi tadbir urus negara.
Menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, memperkenalkan satu rang undang-undang baru untuk Undi 18, perubahan dalam proses parlimen, dan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada pembangkang dan Ketua Pembangkang semuanya adalah antara reformasi yang diperlukan oleh negara setelah pelbagai kerosakan yang kita warisi daripada golongan kleptokrat dahulu.

Pengumuman Perdana Menteri juga seharusnya menjadi mekanisme tuntas untuk menghentikan usaha berterusan golongan kleptokrat dan penyokong-penyokong mereka untuk merampas kuasa demi kepentingan peribadi mereka.
 
Golongan kleptokrat dan penyokong mereka tidak meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

Pengumuman berani dan ikhlas ini juga menunjukkan usaha kluster mahkamah untuk membunuh karakter Muhyiddin telah gagal.
Saya menyeru agar semua ahli-ahli politik daripada semua parti menyokong cadangan-cadangan Muhyiddin. Tiada alasan lagi untuk terus berbalah.
 
Ini adalah butang "reset" untuk kita kembalikan tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat dan membina semula ekonomi negara.