Oleh Isham Jalil

 
KUALA LUMPUR, Malaysia: Saya sudah lama bawa isu air bersih di Malaysia sejak hampir sepuluh tahun yang lalu sehingga saya pernah disaman oleh syarikat bekalan air kerana saya telah mengkritik perkhidmatan air yang diberikan oleh mereka kepada rakyat. 
 
Saya telah pergi ke mahkamah banyak kali dan pernah menang kes air. Isu air adalah suatu isu yang amat penting untuk rakyat.
 
Air adalah suatu keperluan amat asas. Kita boleh hidup tanpa makanan selama beberapa minggu tetapi tanpa air beberapa hari kita akan mati. 
 
Air adalah lebih penting dari makanan, dari jalanraya, dari elektrik, dari kereta, dari keretapi, dari telekomunikasi dan sebagainya. Oleh itu infrastruktur air bersih adalah yang paling penting kepada rakyat dalam sesebuah negara berbanding yang lain.
 
Sebab ini juga saya tidak bersetuju apabila kerajaan menaikkan tarif air sebanyak 22 sen semiter padu kepada pengguna domestik. Setiap rakyat Malaysia menggunakan secara purata 237 liter air sehari. 
 
Dengan kenaikan ini maka kerajaan dan syarikat air akan mengutip tambahan lebih RM600 juta setahun. Tambahan ini tidak sepatutnya dibebankan kepada rakyat dengan kenaikan tarif. 
 
Sebab apabila kerajaan naikkan tarif air ini, semua rakyat termasuk yang miskin juga perlu membayarnya. Bukan sahaja di rumah tetapi juga rakyat yang meniaga kecil-kecilan atau di pasar-pasar malam yang menggunakan air untuk penyediaan makanan di rumah jua akan terkesan. Mereka ini bukan orang kaya.
 
Di dalam Perlembagaan, air adalah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri. 
 
Namun infrastruktur air memerlukan pelaburan yang besar dan kos yang tinggi. Kutipan cukai kerajaan negeri yang sedikit tidak mampu untuk menampung kos-kos ini. 
 
Oleh itu kerajaan negeri banyak berhutang berbillion ringgit kepada kerajaan Persekutuan untuk infrastruktur air. 
 
Sejak tahun 2006, kebanyakan aset-aset air di Malaysia bukan lagi milik kerajaan negeri tetapi adalah milik kerajaan Persekutuan. 
 
Aset-aset ini telah dijual dan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan dan diletakkan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) iaitu satu syarikat Kementerian Kewangan. 
 
Kini kerajaan-kerajaan negeri masih lagi berhutang berbillion-billion ringgit kepada kerajaan Persekutuan akibat hutang-hutang lampau berkenaan air ini. Namun aset-aset air bukan lagi milik mereka (kerajaan negeri), aset-aset sudah terjual tetapi hutang masih berbillion. 
 
Ia umpama harta kita sudah terlelong, tetapi kita tetap perlu bayar kepada bank ke atas harta yang dilelong itu. Ini amat membebankan dan ia memberikan kesan yang tidak baik ke atas mutu perkhidmatan air kepada rakyat di Malaysia. 
 
Sebab itu sehingga kini walaupun kita berada dalam tahun 2024 dan kerajaan memfokus dan berbelanja berbillion ringgit kepada pendigitalan, Artificial Intelligence (AI) dan sebagainya, namun masih terdapat beratus ribu waima berjuta rakyat Malaysia di banyak negeri yang tidak dapat bekalan air bersih atau mereka mendapat bekalan air yang sentiasa terputus atau kotor. 
 
Jika rakyat tidak dapat AI atau pendigitalan, mereka masih boleh hidup, tetapi jika mereka tidak dapat bekalan air bersih, mereka akan kerap jatuh sakit dan mereka akan mati. Kita perlu fokus kepada isu air dulu. 
 
Setelah hampir 20 tahun Akta Industri Perkhidmatan Air diperkenalkan, masalah air di Malaysia masih tidak dapat diselesaikan. 
 
Jika kerajaan Persekutuan berterusan mahu kerajaan negeri menyelesaikan masalah air mereka sendiri dengan bebanan hutang dan melalui kutipan tarif air, masalah air di Malaysia besar kemungkinan akan berterusan selama berdekad-dekad lagi.
 
Cadangan saya, pertama adalah supaya kerajaan Persekutuan menampung kenaikan tarif air RM600 juta ini melalui hasil kutipan cukai dan hasil lain-lain Persekutuan dan bukannya dengan menaikkan tarif air kepada rakyat. Setiap tahun kerajaan Persekutuan mengutip lebih RM200 billion hasil termasuk dari cukai, hasil Petroleum dan sebagainya. 
 
Hasil-hasil ini boleh dan sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah amat asas iaitu air dahulu sebelum isu-isu atau infrastruktur-infratruktur lain. 
 
Jika kita ada Artificial Intelligence (AI) dan pendigitalan paling canggih dengan bajet bernilai RM10 billion tetapi ramai rakyat kita kerap terputus bekalan air atau masih perlu korek telaga untuk bekalan air atau kerap mendapat bekalan air yang kotor, maka kita sebenarnya meletakkan keutamaan (priority) yang salah. 
 
Jika kita ada banyak hasil minyak, gunakan hasil minyak ini untuk air dahulu.
 
Kedua, adalah supaya kerajaan Persekutuan memberikan penghapusan hutang air kepada kerajaan-kerajaan negeri. 
 
Separuh daripada hutang-hutang ini telahpun dihapuskan di banyak negeri namun masih ada berbillion lagi hutang sewa pajakan yang perlu dibayar oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan. 
 
Jika kerajaan negeri dilunaskan dari hutang sewa pajak ini, maka mereka boleh menggunakan hasil negeri yang sepatutnya digunakan untuk membayar hutang ini untuk menaiktaraf dan meningkatkan kecekapan pembekalan air bersih untuk rakyat di negeri masing-masing. 
 
Dengan langkah-langkah ini, mereka tidak perlu naikkan tarif air kepada rakyat dan pada masa yang sama dapat meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air kepada semua.
 
Setakat ini sahaja dulu di ruangan terhad ini. Saya akan tulis berkenaan hal ini dan cadangan-cadangan lain lagi nanti.