By LNA Contributors

Dalam fasa di mana ringgit Malaysia kini mengalami penurunan nilai yang ketara, ramai yang menjangkakan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan memaksa satu kenaikan OPR. Jawapannya ialah tidak.

Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Geoffrey Williams berkata posisi BNM dan kerajaan adalah jelas, dimana perubahan kadar adalah ditentukan oleh pasaran.

Dari sisi yang lain, penurunan nilai ringgit akan membantu Malaysia meningkatkan kadar eksport sekali gus meningkatkan tahap ekonomi negara.

“Malaysia merupakan sebuah negara kecil yang mengamalkan ekonomi terbuka dan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah kadar pertukaran global. Apa-apa langkah yang diambil untuk mempertahankan ringgit akan gagal dan menyebabkan ringgit makin melemah,” katanya.

Umum mengetahui bahawa BNM telah menaikkan kadar OPR beberapa kali sebelum ini sebagai salah satu usaha untuk menurunkan kadar inflasi dalam negara, dan usaha ini ternyata telah membuahkan hasil.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi Malaysia terus mereda pada Mei 2023 dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) turun kepada 2.8 peratus daripada 3.3 peratus dalam bulan sebelumnya.

Dalam kenyataannya, DOSM berkata keadaan itu disumbangkan terutamanya oleh penurunan dalam makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatat 5.9 peratus (April 2023 : 6.3 peratus); pengangkutan 1.0 peratus (April 2023: 2.3 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pada 2.7 peratus (April 2023: 3.0 peratus).

Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa normalisasi OPR adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan untuk memastikan pelaburan asing terus mengalir masuk pada kadar yang baik dan kadar pertukaran ringgit-dolar Amerika Syarikat (AS) dikekalkan dalam julat yang positif.

Ini memandangkan dolar AS adalah mata wang perdagangan global utama, dan seandainya ringgit terus rendah berbanding dolar AS, keburukannya bukan hanya berganda malah lebih daripada itu.

Mengikut Laporan Risiko Global 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Tinjauan Pendapat Eksekutif (EOS), aspek seperti kos sara hidup dan inflasi ketara atau berterusan serta krisis hutang adalah tiga risiko utama di Malaysia.

Laporan sama turut menyenaraikan kos sara hidup sebagai risiko global paling serius susulan tindakan penutupan ekonomi akibat pandemik COVID-19, gangguan rantaian bekalan akibat perang Russia-Ukraine serta sekatan eksport dengan setiap satunya terbukti melonjakkan inflasi.
Mengulas aspek simpanan, satu kajian RinggitPlus menunjukkan hanya tujuh daripada setiap 10 rakyat Malaysia menyimpan kurang daripada RM500 sebulan dengan kebanyakannya tidak mampu menyimpan langsung.

Dalam keadaan sedemikian, apakah pilihan atau yang boleh kita lakukan? Mampukah kita untuk berjimat cermat dalam persekitaran yang menyaksikan keadaan sebegitu mencabar?

Ketika Malaysia menjadi sebuah negara menua, kalangan yang tidak lagi mampu untuk bekerja perlu berusaha lebih gigih untuk menabung, paling tidak pun sedikit setiap bulan demi masa depan apabila bersara kelak.

Apa yang penting, tiada jumlah simpanan yang boleh dilihat sebagai kecil. Bagi setiap RM1 yang disimpan, itulah juga pulangannya dan boleh menjadi penyelamat ketika waktu sukar selain pilihan termasuk aplikasi pelaburan Raiz yang boleh membantu.

Selain itu, adalah penting untuk mempunyai perancang kewangan bagi memanfaatkan lebih banyak peluang yang ada.

Namun, jika keadaan tersasar atau di luar kawalan, adalah wajar untuk mendapatkan bantuan profesional seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu melaras semula kewangan anda.
Justeru, apa juga keputusan OPR hari ini atau di masa akan datang, realitinya kita perlu 'bangkit' bertindak mengukuhkan aspek celik kewangan serta persediaan bagi mengharungi keadaan demi masa depan sendiri.