Oleh Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, Malaysia--Nampaknya, sudah menjadi agenda rasmi Ketua Penerangan PPBM untuk menyerang UMNO sejak kebelakangan ini. Tapi macam manifesto PH yang dia tulis, beliau sendiri keliru dengan apa yang dikatakannya dan hanya fikir untuk memburukkan UMNO.

Terbaharu, beliau berkata bahawa Datuk Seri Utama Hasni Mohammad adalah Menteri Besar yang gagal. Mungkin pada beliau, MB ‘gagal’ sebab MB berjaya menterjemah dasar Kerajaan Negeri dengan kejayaan pelaksanaan program dan inisiatif yang bermanfaat untuk rakyat.  

 
Untuk orang muda, kita ada Young Drone Pilot Program, Johor Youngster Coding Program, Digital Johor Startup Grant. Pada Wan Saiful, ‘berjaya’ itu apabila merangka dasar dan manifesto tapi tidak tunaikan. Tidak boleh salahkan dia, kita dengan dia ada perbezaan pemahaman definisi berjaya dan gagal.

Sebagai MB Johor, Datuk Hasni buktikan beliau ada visi dan strategi untuk membangunkan ekonomi bukan sahaja untuk Johor tetapi untuk Malaysia. Contohnya, tahun lepas, Datuk Hasni bawa Projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) di Mersing. 
 
InshaAllah apabila JDV ini beroperasi sepenuhnya pada 2023, limpahan ekonomi kepada penduduk setempat melalui penjanaan peluang pekerjaan dan pembangunan usahawan agropreneur. 
 
Di peringkat nasional, projek ini akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap susu yang diimport (bernilai RM3.9 bilion pada tahun 2019) dan mampu meningkatkan pengeluaran tempatan susu sebanyak 11 peratus (5.1 juta liter susu segar setiap tahun). Serampang dua mata - bangunkan ekonomi dan perkukuh keselamatan makanan negara.

MB ‘gagal’ kata Wan Saiful. Sebab itu Datuk Hasni tidak lupa kepada keperluan asas rakyat iaitu kemampuan memiliki rumah. Sebagai tambahan kepada inisiatif dan projek Kerajaan Persekutuan seperti Rumah Mesra Rakyat, beliau pastikan salah satu agenda keutamaan Belanjawan Kerajaan Negeri ialah Rumah Ihsan Makmur. Keluarga B40 dan M40 dapat memiliki rumah dengan kemampuan melalui program sewa beli yang ditawarkan.

Begitulah antara ‘kegagalan’ MB Johor. Harap-harap Wan Saiful bertenanglah. Akhirnya, yang akan menentukan sama ada MB berjaya atau tidak adalah pengundi di Johor.

Lagipun, kalau bukan sebab PPBM dan ugutan mereka, mungkin MB tidak perlu membubarkan DUN. Tapi demi kestabilan dan kemakmuran yang lestari, kita serahkan pada rakyat untuk beri mandat kepada Kerajaan Negeri. 
 
Yang penting, saya yakin rakyat dapat bezakan siapa yang berjaya dan siapa yang gagal.