Oleh Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, Malaysia--PAS terus melemparkan segala ugutan, tomahan dan sanggahan terhadap UMNO. Tiada faedahnya terus melayan karenah PAS. Pendirian UMNO telah terang lagi bersuluh.

Hanya PAS yang tidak tahu apa yang ia kehendaki. Susah kalau orang kegilaan talak ini kerana dalam fikiran mereka di buang sayang, di telan pahit.

Misi UMNO dan BN seterusnya ialah untuk terus mara kehadapan dan meninggalkan episod ini.

Yang akan menentukan kemenangan BN ialah sokongan masyarakat pelbagai kaum. Jadi keutamaan mesti diberikan untuk meraih sokongan masyarakat majmuk Johor.

Rakan-rakan UMNO dalam BN mesti memahami ini. Bahawa kemenangan mereka tidak lagi boleh disandarkan kepada UMNO semata-mata.

Mereka mesti tampil meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa BN mesti dikembalikan semula sebagai Kerajaan.

Meningkatkan sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting. Ada dua sebab kenapa ia sangat penting.

Pertama, kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen.

Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam Kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif.

Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok.

Kedua, masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia.

Sampai bila mereka harus mempunyai perwakilan sipi-sipi dalam Kerajaan dan pentadbiran.

Telah sampai masanya mereka menjadi sebahagian dari Kerajaan dan menguruskan negeri dan negara ini secara bersama dengan UMNO, parti terbesar orang Melayu.

Terimalah hakikat bahawa hanya dengan UMNO, kestabilan politik dan perkongsian kuasa itu boleh diuruskan dengan jayanya.

61 tahun pengundi bukan Melayu memberikan kepercayaan kepada BN. Sekarang adalah masa untuk kembali ke pangkuan BN. Walaupun BN bukan sempurna, tetapi ia pasti lebih baik dari PH dan PN dalam menjamin kepentingan politik bukan Melayu.