Oleh Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, Malaysia--Peluang terakhir untuk Ismail Sabri menyelamatkan reputasinya, dapatkan persetujuan Kabinet pada Rabu ini untuk menamatkan perkhidmatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM jika Azam tidak bersedia untuk hadir memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk menjawab persoalan mengenai konflik kepentingan yang membabitkan dirinya

Ismail Sabri mempunyai peluang terakhir untuk menyelamatkan reputasinya sebagai Perdana Menteri daripada terus mereput menjadi sebuah kakistokrasi.

Pada hari Rabu, beliau perlu mendapatkan persetujuan Kabinet untuk menamatkan perkhidmatan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya Azam tidak bersedia untuk untuk hadir memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjawab persoalan mengenai konflik kepentingan yang membabitkan dirinya.

Beliau juga perlu meminta Jemaah Menteri untuk memutuskan sama ada untuk mengadakan sidang Parlimen Khas pada 21 Januari untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap program pencegahan rasuah kerajaan dan menerima, membahaskan dan memutuskan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mengenai skandal Azam.

Kabinet harus memutuskan untuk mengadakan sidang khas Parlimen selama dua hari - pada 20 Januari mengenai bencana banjir dan pada 21 Januari mengenai skandal membabitkan Azam, dua isu utama yang memulakan Tahun Baru 2022 dengan persoalan sama ada Malaysia telah merosot menjadi kakistokrasi.

Kabinet perlu membuat keputusan selanjutnya bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM akan dipertimbangkan dan dinilai oleh PSC mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri secara dwipartisan selaras dengan keputusan Kabinet pada 13 Ogos 2018 dan 31 Julai 2019.

Malaysia mengalami dua masalah, menjadi "kleptokrasi paling teruk" di dunia akibat skandal 1MDB dengan penjenayah yang disabitkan kesalahan rasuah dijemput untuk merasmikan persidangan antarabangsa. Usahlah kita menanggung derita yang ketiga di mana ketua SPRM hilang semua keyakinan orang ramai terhadap integriti dan kejujuran.

Amat menyedihkan dan tragis bahawa daripada mengukuhkan sistem integriti nasional di Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah menjerumuskan negara ke dalam krisis keyakinan terburuk terhadap agensi pencegah rasuah dalam sejarah negara, yang disumbangkan tidak sedikit oleh Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang tidak menyedari kuasa dan tanggungjawab berkanun mereka, Pengerusi LPPR secara sepihak bercakap bagi pihak enam ahli LPPR yang lain sedangkan beliau hanya menyatakan pendapat peribadinya dan kenyataan bersama tiga timbalan pesuruhjaya SPRM yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Azam dan menolak dakwaan konflik kepentingan sebagai “politik membalas dendam” untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

Persoalannya adalah sama ada Perdana Menteri dan Kabinet boleh menyelamatkan integriti dan kredibiliti mereka pada Rabu untuk menunjukkan bahawa mereka tidak akan membiarkan Malaysia terjerumus menjadi kakistokrasi.