Oleh Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, Malaysia--Lebih kurang 50 keluarga di kalangan warga Maritim Malaysia yang berkhidmat di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya dan Maritim Negeri Selangor terjejas dengan banjir yang melanda beberapa daerah di Selangor sejak 18 Disember 2021 lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato' Mohd Zubil bin Mat Som, sempat mengunjungi kediaman salah seorang Pegawai Maritim Malaysia yang terkesan di Taman Jenderam Aman, Sepang berkata, Ibu Pejabat Maritim Malaysia telah membentuk pasukan pegawai dan anggota bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

Untuk hari ini, terdapat beberapa rumah telah dikenalpasti dan pasukan pembersihan yang diterajui oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim (KESMAR) Ibu Pejabat telah digerakkan bagi melaksanakan kerja kerja pembersihan bermula jam 10 pagi tadi.

Sebahagian kawasan lain masih lagi digenangi air dan proses pembersihan akan dibuat sebaik sahaja kawasan tersebut surut sepenuhnya.

Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada Hisyam Hamid, seorang selebriti yang juga pernah membawa watak sebagai Pegawai Memerintah Kapal (CO) KM Bagan Datuk, Leftenan Komander Maritim Adam Alauddin dalam drama bersiri “TQ Captain” yang pernah ditayangkan di saluran Astro Ria pada 2019 lalu yang sudi menawarkan diri bagi bersama-sama membantu warga Maritim Malaysia yang terjejas banjir.

Hisyam hamid yang ditemui turut menzahirkan kata-kata semangat kepada warga Maritim Malaysia yang terjejas dengan banjir.

Sedikit sebanyak sumbangan tenaga yang dihulurkan dalam aktiviti pembersihan seperti ini dapat memberikan sokongan moral serta meringankan beban yang dialami oleh warga Maritim Malaysia apatah lagi mereka yang terlibat terdiri daripada petugas barisan hadapan.

Sebanyak tiga kediaman telah dibersihkan pada hari pertama ini dan kediaman yang lain akan dibersihkan secara berperingkat mengikut keadaan semasa paras air.