Oleh Sivaraj Chandran

KUALA LUMPUR, Malaysia--Saya mengikuti dengan teliti perbahasan usaha berterusan beberapa pihak, terutamanya Pemuda Bersatu (ARMADA) yang berpandangan seolah-olah Bahasa Melayu hanya boleh didaulatkan sebagai Bahasa Kebangsaan jika pendidikan vernakular dihapuskan.

Bagi saya, pandangan sebegini tidak lain dari sekadar satu lagi retorik politik bersifat fundamentalis yang akan terus membesarkan lagi jurang perpaduan di antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya.

Saya setuju pendidikan vernakular merupakan sistem peninggalan penjajah namun ia juga telah diperakui kepentingan kewujudannya melalui beberapa siri perbincangan dalam tempoh awal pembentukan negara bangsa Malaysia.

Penyata Razak 1956 yang merupakan satu bentuk perjanjian tolak ansur antara Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu telah memboleh kewujudan sistem pendidikan kebangsaan dan vernakular secara seiring dengan syarat penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama manakala bahasa- bahasa lain dibenarkan untuk menjadi bahasa pengantar di sekolah.

Ini asasnya. Penyata Razak 1956 itu bukan sahaja mengesahkan tolak ansur secara tidak rasmi untuk pengekalan dua sistem pendidikan ini malah mencerminkan semangat perpaduan dan toleransi yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa Malaysia.

Tindakan seperti ini yang sering menjadikan sistem pendidikan vernakular sebagai "punching bag" untuk memperlihatkan diri sendiri sebagai pejuang Bahasa Kebangsaan adalah pada pandangan saya satu tindakan jangka masa pendek yang tidak bertanggung-jawab.

Adakah Bahasa Melayu hanya boleh didaulatkan dengan penghapusan pendidikan vernakular ? Kenapa tidak ada ada pula pihak yang ingin melihat pada realiti bahawa kegagalan sebenar untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah akibat sikap seperti ini yang memperlihatkan Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang dimiliki oleh golongan tertentu sahaja.

Bahasa Melayu dalam konteks Bahasa Kebangsaan bukan milik Masyarakat Melayu atau Cina atau India semata-mata. Bahasa Melayu milik kita semua, tak kira Melayu atau Cina atau India. Selagi mana ada pihak yang berpandangan fundamentalis sebegini, selagi itu usaha mendalautkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan tidak dapat terlaksana dengan sepenuhnya.

Ramai sahaja Masyarakat India atau Cina malah graduan pendidikan vernakular yang jauh lebih fasih berbahasa Melayu pada hari ini. Jangan keluarkan kenyataan/pandangan separuh masak seperti ini untuk sekadar nampak hero dan meraih sokongan politik.

*Datuk Sivaraj Chandran ialah Ketua MIC Cawangan Taman Bukit Kuchai Baru dan Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN)*