Oleh Penyumbang INS

KLANG, Malaysia--Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah berjaya memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh sebuah bot KM SINAR UTAMA dari Indonesia sekitar jam 4.00 pagi tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor Kepten Maritim Rosli bin Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (PUSOP) telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot disyaki membawa PATI telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan sekitar jam 9.00 malam semalam dengan membawa lebih kurang 40 orang PATI warganegara Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

Pada lebih kurang jam 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

Berikutan itu bot PENGGALANG 10 (MARITIM) yang dalam tugasan OP BENTENG Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sekitar jam 2.00 pagi tadi, PENGGALANG 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung bot disyaki berwarna merah/biru dengan nama KM SINAR UTAMA yang membawa PATI, lalu mengarahkan untuk berhenti, namun tekong KM SINAR UTAMA bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan berbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

PENGGALANG 10 dan PR4 terus menghalang tindakan KM SINAR UTAMA dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas bagi menghindari daripada menuju dan mendarat di pantai.

Dalam tempoh kejar buru hampir satu jam tiga puluh minit itu, KM SINAR UTAMA masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan berbahaya.

PENGGALANG 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi KM SURIA UTAMA keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4.00 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang.

Menyekat serta menggagalkan cubaan menyusup masuk PATI secara haram ke dalam negara melalui perairan adalah satu keutamaan dan penanda aras bagi Maritim Malaysia dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan termasuklah mengekang penularan COVID-19 melalui OP BENTENG.

Aset-aset laut Maritim Malaysia sentiasa melaksanakan rondaan rutin dengan pemantauan rapat 24/7 radar SWASLA bagi mengesan sebarang sasaran curiga di perairan negara dan memastikan tidak dibolosi dengan mudah oleh penjenayah.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berusaha dan mencabar undang-undang Persekutuan demi kedaulatan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Negeri Selangor di talian 03-321760627 yang beroperasi 24 jam atau MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.