Oleh M. Sarasvathy

KUALA LUMPUR, Malaysia--Kontrak perkhidmatan pembersihan di Hospital Kerajaan di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis telah diambil alih oleh Edgenta UEMS Sdn. Bhd. yang merupakan subsidiari kepada syarikat GLC, UEM Edgenta pada 01-01-2020. Sejak itu, pekerja-pekerja pembersihan terutamanya pekerja-pekerja di Hospital Tanjung Rambutan menghadapi pelbagai masalah yang masih enggan dan tidak diselesaikan oleh UEMS sehingga ke hari ini.

Antara masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja adalah :
             
A. Kenaikan Gaji Bagi Tahun 2021 Yang Tidak Adil Dan Secara Pilih Kasih Dan Pilih Bulu

UEMS telah mengeluarkan memo kenaikan gaji bagi tahun 2021 pada awal bulan Julai 2021. Di dalam memo itu dinyatakan, kenaikan gaji hanya akan diberi kepada pekerja yang layak berdasarkan kepada Penilaian Prestasi yang dibuat pada tahun 2020. Juga dinyatakan tarikh berkuatkuasa kenaikan gaji ialah pada 1 Julai 2021 dan bayaran akan dibuat dalam penggajian bulan Julai.

Kesatuan juga dimaklumkan pekerja yang layak mendapat kenaikan gaji 2021 telah mendapat surat makluman pada 29 Julai 2021 yang bertarikh 22 Julai 2021 dan dinyatakan gaji baru selepas kenaikan gaji adalah RM 1,230.00 (Kenaikan sebanyak RM 30.00). Akan tetapi, lebih 90 pekerja HBUK tidak dinaikkan gaji.

Kenaikan gaji yang berdasarkan Penilaian Prestasi dan saguhati merupakan tindakan yang berat sebelah dan pilih kasih. Kenaikan gaji sebanyak RM 30.00 yang tidak berbaloi ini boleh diberi kepada semua pekerja. RM30.00 bukanlah kenaikan yang tinggi dan mampu diberi oleh UEMS kepada semua pekerja. Kenaikan gaji ini boleh dibuat dengan lebih adil dan bukanlah hanya berdasarkan Penilaian Prestasi yang dibuat secara sewenang-wenangnya yang berkemungkinan dimanipulasi oleh pihak yang membuat penilaian.

B. Tiada Bonus

C. Tidak Memberikan Elaun-Elaun Seperti Elaun Dobi, Elaun Kedatangan Dan Elaun Shif

D. Tiada Kenaikan Cuti Tahunan

E. Cuti Umum – Kembalikan Cuti Umum Sebanyak 15 Hari
* Sebelum UEMS ambil alih, cuti umum pekerja adalah 15 hari.
* Selepas UEMS ambil alih, cuti umum telah dikurangkan kepada 11 hari.

F. Faedah Perubatan RM 200.00 – Kembalikan Kepada RM 1,000.00
* Sebelum UEMS ambil alih, faedah perubatan yang diberi kepada pekerja adalah sebanyak RM 1,000.00
* Selepas UEMS ambil alih, faedah perubatan telah dikurangkan kepada RM 200.00.

G. Uniform - Berikan Uniform 3 Pasang Dengan 2 T-shirt
* Sebelum UEMS ambil alih, pekerja diberi uniform yang secukupnya.
* Selepas UEMS ambil alih, uniform yang secukupnya tidak diberi kepada pekerja. Pekerja hanya diberi 2 pasang uniform.
   
H. Pemberian Saguhati -  Harus Diberikan Kepada Semua Pekerja Dan Bukannya Diberikan Secara Pilih Kasih Dan Berdasarkan Penilaian Prestasi Yang Dibuat Secara Sewenang- Wenangnya
* Saguhati hanya diberi kepada pekerja yang layak berdasarkan penilaian prestasi yang dibuat secara sewenang-wenangnya.
* Penilaian prestasi dibuat oleh Penyelia UEMS yang berkemungkinan dimanipulasi dan bersikap pilih kasih.

I. Pekerja Dipaksa Kerja Di 2-3 Lokasi

J. Penyelia UEMS Pilih Kasih Dan Bagi OT Kepada Pekerja Yang Penyelia Suka
* Pemberian OT secara pilih kasih oleh Supervisor UEMS kepada pekerja-pekerja yang mereka suka.
* OT tidak diberi secara adil kepada semua pekerja.
 
K. Tiada Elaun COVID-19 Untuk Pekerja Yang Setiap Hari Bekerja Di Wad COVID-19

Walaupun Kesatuan telah menghantar surat aduan kepada UEMS beberapa kali pada 09-08-2021, 16-08-2021 dan 25-08-2021 tetapi UEMS masih enggan atau tidak menyelesaikan masalah-masalah di atas dan juga tidak mahu melakukan sebarang perbincangan dengan Kesatuan untuk selesaikan masalah-masalah tersebut.

Malah, UEMS membalas surat Kesatuan secara angkuh dan tidak bertanggungjawab terhadap masalah-masalah pekerja.

UEMS memberikan alasan kenaikan gaji dan bonus adalah hak prerogatif pengurusan (management prerogative) dengan berdasarkan penilaian prestasi kerja individu tetapi perkara ini mesti dipertikaikan dan tidak boleh diterima kerana penilaian sebegini boleh menjadi berat sebelah dan diskriminasi kepada pekerja yang tidak disukai oleh Penyelia-penyelia yang membuat penilaian.

Sebelum ini, pekerja Hospital Tanjung Rambutan pernah menyuarakan ketidakpuasan hatian mereka kepada Ketua Operasi sejak tahun 2020 lagi, tetapi masalah mereka masih tidak diselesaikan sehingga ke hari ini dan pekerja tidak puas hati dengan cara pengendalian UEMS.

Oleh itu, pekerja-pekerja mengambil tindakan perusahaan (industrial action) untuk mempertahankan hak-hak mereka tidak kira apa jua keadaan kerana UEMS masih meminggirkan serta mengabaikan kebajikan pekerja-pekerja yang berhadapan dengan risiko yang tinggi semasa waktu pandemik ini. Tindakan ini juga adalah kesan daripada kegagalan UEMS dalam mengendalikan masalah-masalah pekerja HBUK secara professional dan proaktif sehingga kini!.

UEMS seharusnya bersikap secara profesional, proaktif dan bertanggungjawab dengan mengadakan perbincangan dengan Kesatuan demi mencari menyelesaikan masalah-masalah pekerja HBUK dengan kadar segera bagi menjamin keharmonian industri.

*M. Sarasvathy ialah Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia*