Oleh Tariq Ismail

KUALA LUMPUR, Malaysia--Biro Hal Ehwal Antarabangsa tertanya-tanya kenapa Menteri Luar Negara, Datuk Saifuddin Abdullah perlu perbincangan lebih lanjut bersama jemaah menteri bagi menentukan hala tuju hubungan dua hala dengan pihak Taliban yang kini menguasai Afghanistan.

Pada pendapat Biro ini, sekiranya usaha tidak dilakukan untuk menenangkan keadaan dan mempengaruhi puak Taliban, kemungkinan besar akan membawa kepada krisis kemanusiaan serta perebutan kuasa yang kemungkinan besar akan merebakkan aktiviti keganasan ke wilayah sekitar Afghanistan, termasuk China, India, Pakistan, Iran, Tajikistan dan Uzbekistan.

Ini mungkin mencetuskan ketidakstabilan politik di kawasan Asia Tengah dan melemahkan kuasakuasa di Asia Tengah pula. Dari aspek ini, Malaysia harus memainkan peranan bersama rakan-rakan lain seperti China, Rusia, Amerika Syarikat, Jepun, India dan Pakistan dalam usaha membina semula asas-asas kemanusiaan di Afghanistan melalui kerjasama kemanusiaan, budaya dan ekonomi.

Biro ini menaruh harapan bahawa Menteri Luar Negara perlu arif dan cekap menyusun strategi dan polisi hubungan luar negara secara amnya. Arena politik antarabangsa adalah dinamik dan tidak akan berhenti sebentar sementara kepimpinan Malaysia sibuk mengira kerusi ala “musical chairs”. Kegagalan kita bertindak balas di waktu krisis akan menyebabkan kita ketinggalan di persada antarabangsa.

Saifuddin Abdullah sebagai Menteri punyai sumber-sumber Wisma Putra bagi menggembleng tenaga bagi usaha diplomatik ini. Jangan sampai rakyat sekali lagi yang berinisiatif #kitajagakita bagi mengisi tanggungjawab menteri, dan pisang berbuah dua kali.

* Tariq Ismail Mustafa mengetuai Biro Hal Ehwal Luar Negeri Pejuang *