Oleh PEKA

KUALA LUMPUR, Malaysia--Kami warga Selangor dan Rakyat Malaysia melahirkan rasa sangat kecewa terhadap tindakan Kerajaan Negeri Selangor kerana melaksanakan Kelulusan Penyahwartaan (de-gazettement) Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 536.7 hektar (bersamaan 1,326 ekar) yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei 2021 yang lalu dan dengan segera  mewartakannya dalam Warta Kerajaan Negeri No : 1440 pada 12 Ogos 2021 baru-baru ini.

1) Kami juga melahirkan rasa sedih terhadap tindakan Kerajaan Negeri yang tidak menghormati keputusan sebulat suara tanpa bantahan  Adun-adun yang menyokong penuh Usul 26 mempertahankan pewartaan status Hutan Simpan Kekal di Negeri Selangor dalam sesi Sidang Dewan pada 11 November tahun lepas.

2) Kami juga merasakan bahawa Sesi Pendengaran Awam (Town Hall meeting) yang diadakan oleh Kerajaan Negeri di Resort Pulau Carey, Banting, Selangor  pada 29 September 2020 tahun lepas hanya sebagai  ‘melepaskan batuk di tangga sahaja’ untuk melengkapkan proses meluluskan nyahwarta tersebut.

3) Kami juga kesal Kerajaan Negeri tidak mengambil endah bantahan kuat dari pelbagai pihak, Jabatan-Jabatan Kerajaan Berkaitan, JAKOA, orang awam yang prihatin, masyarakat Orang Asli dan NGO-NGO Alam Sekitar dan Sosial terhadap cadangan penyahwartaan tersebut.

Lebih 45,000 surat bantahan telah disampaikan kepada pejabat
Perhutanan Negeri Selangor dan lebih 129,034 tandatangan petisyen telah diterima secara atas talian untuk menyatakan bantahan keras terhadap cadangan penyahwartaan status hutan simpan tersebut.

4) Terdapat 9 kampung masyarakat Orang Asli Temuan dengan lebih 1,000 orang keluarga Orang Asli menetap di sekitar hutan tersebut dan hutan tersebut merupakan kawasan punca pencarian dan tempat untuk mereka mencari hasil hutan, binatang buruan kecil, ubat-ubatan dan pucuk-pucuk ulam-ulaman.

5) HSKLU ini penting untuk mengekalkan ekosistem dan sebarang tindakan mengubah ekosistem ini akan menyebabkan pelepasan 3.2 juta tan Karbon Dioksida ke udara yang akan mengundang perubahan iklim yang ketara dan memberi impak besar terhadap pemanasan global kenaikan suhu serta perubahan cuaca di Selangor khususnya dan Malaysia am di masa hadapan.

6) Melalui Kenyataan Media Pengarah Komunikasi Keadilan pada 1 September 2021 menyatakan YAB Menteri Besar bahawa beliau akan menangguhkan proses penyahwartaan HSKLU sehingga Kerajaan Negeri selesai mempertimbangkan dan menjelaskan kesemua isu yang telah dibangkitkan adalah sesuatu ibarat mengkotak-katekkan kehendak rakyat dan tidak menghormati kepentingan dan adat-resam 1,000 orang keluarga Orang Asli Temuan yang juga merupakan pengundi berdaftar yang telah mendiami dan menjaga HSKLU melalui Pewartaan Notis Gazet Kerajaan No. 2578 sejak 19 April 1927 berkeluasan 7246.96 hektar dan diserahkan kepada Orang Asal Bukit Perah, Pulau Kempas dan Bukit Kemandol turun temurun.

Lantaran itu kami warga Selangor khasnya dan rakyat Malaysia umumnya mendesak Kerajaan Negeri agar segera mewartakan kembali (Re-gazette) status HSKLU yang telah dilucutkan status sebagai ‘Hutan Simpan Kekal’ dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor pada 12 Ogos 2020 yang lalu. 

 
Penjelasan yang diberikan oleh YAB MB yang juga telah diterima baik oleh Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah menghina bantahan rakyat Negeri Selangor kerana kenyataan Exco Alam Sekitar Negeri Selangor YB Hee dengan jelasnya menyebut bahawa proses penyahwartaan sebahagian HSKLU telah diputuskan pada Mei 2021.

7) Tidak cukupkah pengambilan HSKLU yang pada asalnya seluas 7246.96 hektar bagi memenuhi pembangunan sebelum ini?
 
Putrajaya/KLIA/Cyberjaya/Taman Rimbayu/Lebuhraya SKVE/Gamuda Cova/ECRL/Saujana Putra/Lebuhraya ELITE sehingga berbaki 957.63 hektar hakikatnya pembangunan yang telah melebihi permintaan?
 
8) Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan kawasan ganti di Mukim Sungai Panjang Sabak Bernam , juga tidak boleh diterima sama sekali di mana Hutan Gambut ini juga sedang rancak diteroka seluas 2400 ekar bagi Projek SMART AGRO (Kelapa Sawit) oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang telah dikeluarkan ‘Notice Stop Work’ oleh Jabatan Alam Sekitar pada 15 April 2021. Dan menerusi imej satelite pada 24 Ogos kerja-kerja penerokaan masih berjalan. Ini satu amalan dari Kerajaan Negeri Selangor  yang amat dikesali dan membelakangkan kredibiliti Jabatan Alam Sekitar.

9) Bolehkah EKOLOGI SEMULAJADI yang ada di HSKLU sekarang DIGANTI oleh kawasan yang dicadangkan sebagai Hutan Ganti? Ini kerana Spesis Akuatik Endemik Red Beta Selangor Fighting Fish dan Selangor Pygmy Flying Squirrel hanya terdapat di HSKLU sahaja. Ini tidak termasuk spesis-spesis lain yang dilindungi seratus peratus seperti Clouded Leopard (Kucing Dahan), Black Panther (Harimau Kumbang, Sun Bear (Beruang Matahari dan Slow Loris. Dan pelbagai lagi spesis haiwan yang akan hilang/pupus daripada Selatan Selangor jika pembangunan di HSKLU diteruskan.

KAMI MEMBANTAH KERAS penyerahan tanah hutan gambut ini kepada syarikat Gabungan Indah Sdn Bhd yang memiliki modal berbayar (paid-up capital) sebanyak RM1.00 sahaja  dan hanya baru didaftarkan tidak sampai 6 bulan dari kelulusan oleh MMKN pada 05 Mei baru-baru ini. Syarikat ini dilihat tidak mempunyai  sebarang justifikasi rekod kerja untuk membangunkan tanah hutan seluas 536.7 hektar ini. DAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA WAJIB DIKEKALKAN SEHINGGA BILA-BILA.