Oleh Wan Junaidi Tuanku Jaafar
KUCHING, Malaysia--Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul amanah sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sejak 10 Mac 2020 sehingga 16 Ogos 2021.
Sepanjang menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya telah berusaha sedaya upaya saya untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin demi melonjakkan nama Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul yang bersatu, makmur dan bermaruah.
Sebagai ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) saya menghormati keputusan YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin. Ini adalah jalan terbaik dan terhormat yang diambil demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.
Selama menerajui MEDAC, banyak tumpuan telah diberikan dalam usaha membantu peniaga–peniaga kecil, terutamanya golongan informal, kerana mereka inilah kumpulan yang amat terkesan akibat COVID-19.
Dalam usaha ini, saya sentiasa memastikan Kementerian saya, dan agensi di bawahnya, memperbaiki kualiti perkhidmatannya bukan sahaja untuk menjadi lebih efisien, malah supaya lebih mesra pelanggan dan mesra rakyat.
Alhamdulillah, selama setahun lebih menjadi menteri, banyak juga pembaharuan, reforms dan penambahbaikan yang telah saya realisasikan di dalam MEDAC dan agensinya.
Antaranya termasuklah:
i) Mengadakan kaji selidik yang berbentuk ‘hard truth’ mengenai kesan COVID dan PKP ke atas usahawan, terutamanya peniaga mikro dan informal.
ii) Melaksanakan Pelan Transformasi Koperasi (TransKoM), merangkumi pindaan akta koperasi dalam usaha memperkasakan lagi gerakan ini supaya lebih relevan dan berdaya saing dalam menangani cabaran cabaran di masa akan datang dan;
iii) Memperjuangkan nasib PKS di bawah kategori First to Close, Last to Open (FCLO), yang amat terkesan akibat penutupan ekonomi dan juga COVID-19 sehingga berjaya mendapatkan dana RM100 juta untuk digunakan sebagai pembiayaan perniagaan.
Banyak program pembiayaan untuk peniaga kecil dan informal juga yang diwujudkan seperti Skim Pembiayaan Informal (SPIN) yang ditawarkan oleh TEKUN Nasional. Selain itu, MEDAC juga amat aktif dalam usaha membantu peniaga-peniaga berhijrah kepada e-commerce.
Saya juga amat aktif dalam mempastikan perkhidmatan perbankan diwujudkan di kawasan-kawasan luar bandar. Perkhidmatan sebegini penting bukan sahaja dapat memudahkan urusan perbankan penduduk setempat malah ianya dapat mempergiatkan aktiviti sosio-ekonomi di kawasan tersebut.
Dengan kerjasama Bank Rakyat, agensi di bawah MEDAC, saya telah terlibat dalam memperkenalkan pekhidmatan bank bergerak dan juga pembukaan cawangan–cawangan baharu Bank Rakyat di Sarawak iaitu di Lundu, Betong dan Subuyau. Saya harap pihak bank dapat mempercepatkan pembukaan cawangan cawangan baharu di negeri Sarawak seperti di Serian dan juga di Sungai Asap.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Mahiaddin telah melakukan yang terbaik terutama dalam menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini termasuk dalam mempercepatkan program imunisasi kebangsaan, dan usaha ini sudah pun menampakkan hasil. Semoga usaha murni ini diteruskan oleh barisan kepimpinan baharu nanti.
Saya amat berharap sesiapa sahaja yang dilantik memegang portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas ini akan terus komited memperkasakan keusahawanan negara. Sesungguhnya golongan usahawan dan koperasi menaruh sepenuh kepercayaan dan harapan kepada Kementerian bagi menyokong dan menjadikan impian mereka kepada realiti terutamanya dalam bidang keusahawanan.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan agensi-agensi di bawahnya yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang saya menerajui MEDAC. Saya juga memohon maaf di atas kekhilafan saya sepanjang menerajui MEDAC. Doa saya semoga kita semua rakyat Malaysia terus diberi kesihatan yang baik dan terhindar daripada wabak Covid-19 serta sentiasa dalam perlindungan dan rahmat ALLAH SWT.
Hot news
Kerajaan Telah Berbuat Sedaya-upaya Untuk Mendukung Perniagaan Kecil Semasa Pandemik COVID-19
0 Comments
63779 view
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published