Oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz


KUALA LUMPUR, Malaysia--Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada laporan media bahawa Istana Negara dikatakan telah memohon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi mengesahkan jumlah sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap Mahiaddin Yassin selaku Perdana Menteri.

ABIM menghargai usaha Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) yang berusaha memastikan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta demokrasi berparlimen dipertahankan.

Oleh itu, ABIM menegaskan pihak yang terlibat seharusnya bertindak secara telus mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan tanpa perlu membebankan YDPA untuk mengambil inisiatif tambahan dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Sehubungan dengan itu, berdasarkan perisytiharan penarikan diri (daripada menyokong YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin) yang diumumkan secara rasmi oleh beberapa Ahli Parlimen sebelum ini, maka ABIM menggesa YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin meletakkan jawatan secara terhormat.

Gesaan ini berdasarkan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan hal yang berikut :-

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Pada hemat ABIM, berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi rakyat ini, tindakan meletakkan jawatan adalah pilihan terbaik berbanding dengan tindakan membubarkan parlimen yang diyakini tidak akan diperkenankan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) yang sering menzahirkan keprihatinan terhadap kesan COVID-19 ke atas rakyat.

Perletakan jawatan ini dapat meredakan permainan politik serta memartabatkan kembali amalan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta sebagai jalan keluar daripada krisis perlembagaan yang merencatkan urus tadbir negara pada ketika ini.