Oleh Loh Ker Chean

KUALA LUMPUR, Malaysia--Saya mendesak kerajaan agar mengambil serius situasi penularan wabak COVID-19 terkini dan mengambil tindakan kritikal segera dengan merujuk kepada pengesyoran pakar-pakar kesihatan dan langkah-langkah pencegahan berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi melindungi kanak – kanak daripada jangkitan COVID-19 yang mampu meragut nyawa.


21,668 Kes positif COVID-19 sehari yang tercatat pada 12 Ogos adalah rekod tertinggi dan telah membuktikan ramalan berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 16 Julai adalah bukan gurauan.

Ramalan tersebut menjangka bahawa kes positif Covid-19 akan meningkat sehingga 17,000 sehari pada pertengahan Ogos dan Malaysia akan mencapai tahap kemuncak penularan Covid-19 pada pertengahan September dengan 24,000 kes positif sehari.

Oleh itu, saya mahukan kerajaan agar tidak bersikap cuai dalam beberapa dasar kerajaan yang melibatkan kanak – kanak, termasuklah pembukaan semula sekolah pada 1 September dan pelaksanaan kelonggaran syarat terhadap ibu bapa yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk merentas daerah dan negeri bagi tujuan melawat anak – anak mereka di bawah umur 18.

Kedua – dua dasar ini mampu membuatkan kanak-kanak terdedah kepada risiko yang tinggi dengan kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 dan variannya daripada orang dewasa seperti ibu bapa dan petugas sektor pendidikan. Sungguh pun golongan ini telah lengkap divaksinasi, namun mereka masih berpotensi menjadi penyebar virus.
 
Seluruh masyarakat ternyata tidak yakin dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sekolah berikutan bukan sahaja kerana kanak – kanak belum divaksinasikan, tetapi juga tidak pasti dengan peratusan petugas sektor pendidikan yang telah menerima vaksin lengkap.
 
Lagipun, kadar vaksinasi yang melengkapi dua dos di seluruh negara hanya mencapai hampir 30 peratus pada 12 Ogos berdasarkan data KKM.

Sebaiknya kerajaan mengkaji lebih dalam dan terperinci akan strategi yang berkesan dan mengambil kira semua aspek berasaskan data dan bukti sains sebelum membuat sebarang dasar dan pelaksanaannya.
 
Jangan biarkan ramalan KKM mengenai 24,000 kes positif sehari menjadi kenyataan.