Oleh Collins Chong Yew Keat

KUALA UMUR Malaysia: Penangkapan Nicolás Maduro menandakan kemuncak percaturan kuasa strategik Presiden Donald Trump serta manifestasi jelas tekad Washington yang tidak berbelah bahagi untuk mengekang Rusia dan China, sambil menegaskan semula dominasi dan keutamaan Amerika Syarikat (AS) di Hemisfera Barat.

Pentagon melaksanakan salah satu operasi serbuan paling kompleks dalam sejarah moden tanpa sebarang kegagalan besar, dengan penggunaan senjata moden termasuk kuasa sonik -  suatu amaran keras dan peringatan bahawa AS mampu mempamerkan tayangan kuasa di mana-mana, pada bila-bila masa dan dengan kaedah baharu, menggunakan kekuatan yang mengatasi segala pihak dengan objektif yang jelas, dan penamat yang pantas.

Ini merupakan kebangkitan strategik baharu Doktrin Monroe dan usaha untuk mengekalkan hegemoni kuasa AS yang telah lama terhakis di “halaman belakangnya” sendiri oleh perluasan kuasa dan pengaruh  Moscow dan Beijing yang tidak dititikberatkan oleh pentadbiran sebelum ini termasuk di bawah Obama dan Biden.

Jauh daripada sekadar “perang demi minyak” seperti dalam naratif mudah dan konvensional, tindakan ini adalah strategi tiga serampang yang tertumpu secara langsung kepada perlindungan Amerika dan keselamatannya, serta bagi menghalang muslihat kuasa luar yang cuba mencabar keutamaan tradisional Washington di kawasan pengaruhnya sendiri.

Tiga Faktor Utama Berangkai

Faktor paling utama adalah memastikan keadilan ditegakkan dan menghentikan aliran berterusan dadah haram ke AS serta membendung penularan narco-terrorism yang telah membinasakan struktur sosial AS. Trump telah pun menjadikan faktor menegakkan kembali kestabilan sosial AS dan menjamin keselamatan rakyat AS sebagai salah satu manifesto kempen utama sebelum ini, dan ini merupakan langkah yang diambil untuk membuktikan karakter serta pendirian tegas Trump sebagai pemimpin yang berani mengambil pendekatan langsung dan bukan konvensional, terutamanya dalam mengangkat darjat mantra "America First".

Venezuela di bawah Maduro merupakan hab transit utama bagi kokain dan dadah terlarang lain menuju ke AS melalui kartel, termasuk kartel Colombia. Trump melihat rakyat AS menderita akibat kematian fentanyl dan kerosakan sosial yang berpunca daripada kemasukan dadah haram yang tidak terkawal. Bertan-tan kokain telah membanjiri Amerika, mencetuskan keganasan dan lebih 100,000 kematian akibat terlebih dos setiap tahun.

Bush, Obama dan Biden semuanya gagal menangani masalah ini secara berkesan, sekadar mengambil tindakan kosmetik di kawasan sempadan. Trump menghentikan budaya diplomatik konvensional ini yang telah lama mengekang percaturan Washington, dengan tiadanya political will untuk bertindak. Dengan membawa Maduro ke muka pengadilan dan memberi tekanan kepada rejimnya, Amerika Syarikat sedang memutuskan rangkaian perdagangan dadah ini. 

Misi ini dilihat sebagai operasi penguatkuasaan undang-undang terhadap pengedar dadah, bukan perang konvensional atau pencerobohan.

Trump telah mengklasifikasikan kartel Venezuela dan pegawai rasuah sebagai pengganas narkotik, dan operasi ini bertujuan menyelamatkan nyawa rakyat AS daripada kemusnahan ketagihan dadah. Tindakan tegas Trump menunjukkan bahawa kartel dan penaung negara mereka tidak akan terlepas daripada hukuman, dan kedua-dua keluarga Venezuela dan AS akan menjadi lebih selamat.

Kedua, ini akan membendung krisis migrasi haram. Punca utama yang memaksa jutaan rakyat Venezuela melarikan diri kini sedang ditangani, dan AS boleh membantu menstabilkan serta membina semula Venezuela supaya rakyatnya tidak lagi terpaksa melarikan diri secara besar-besaran.

Membina semula Venezuela yang bebas, makmur, ditadbir dengan baik dan menghormati hak rakyatnya akan mengurangkan gelombang migran yang telah membanjiri AS dan negara jiran di Latin Amerika. Di bawah Obama dan Biden, punca asas ini tidak ditangani. Trump mengenal pasti punca sebenar masalah dan berusaha memenuhi janjinya untuk memastikan AS dan Amerika Latin lebih selamat.

Lebih 7 hingga 8 juta rakyat Venezuela melarikan diri daripada kekacauan di bawah Maduro, termasuk ramai yang menuju ke Amerika Syarikat. Trump menangani punca ini secara langsung: dengan kejatuhan rejim dan laluan ke arah pembaharuan, rakyat Venezuela boleh membina masa depan di negara sendiri.

Ketiga, langkah ini mematikan pengaruh dan kuasa proksi China dan Rusia di Hemisfera Barat. Di bawah Maduro, Venezuela menjadi kubu bagi musuh-musuh AS - Tehran, Moscow dan Beijing, yang menggunakan negara itu untuk memperkukuh pengaruh geopolitik, keselamatan tenaga dan sumber, dan jaminan ekonomi mereka.

Moscow menyokong Maduro dengan pinjaman, perjanjian sumber medan minyak dan bantuan ketenteraan. Kini Rusia telah kehilangan negara klien dan pelanggan senjata. Presiden Putin kini menyedari kekuatan sebenar Washington di bawah Trump jika garis merah dilanggar.

Kad strategik telah kini diterbalikkan oleh Trump. Venezuela telah lama menjadi pangkalan anti-AS dengan jet pejuang, pinjaman dan program satelit pengawasan Rusia. Moscow menyangka Washington tidak akan campur tangan secara langsung di Amerika Latin, dan kini Trump memusnahkan anggapan itu.
Langkah Trump mengubah keseluruhan percaturan strategik permainan kuasa di Hemisfera Barat.

Venezuela memiliki rizab minyak terbukti terbesar dunia, lebih 300 bilion tong atau kira-kira 17 peratus rizab global - suatu talian hayat bagi musuh AS.

Kini lahir versi moden  “Doktrin Donroe”, gabungan Donald dan Monroe, yang telah dikemaskini daripada versi asal Doktrin Monroe yang mengekalkan kuasa AS di Hemisfera Barat.

Mesejnya jelas: “Ini adalah hemisfera kami, dan tiada kuasa atau ideologi luar dibenarkan mengancam kawasan ini.”

Pentadbiran terdahulu membiarkan platform ini dicerobohi. Trump membetulkannya. Bagi Trump, adalah tidak boleh diterima syarikat China menguasai pelabuhan dan lombong Amerika Latin atau Iran menyebar pengaruh di geografi ini. Hemisfera Barat adalah lingkungan dominasi hanya bagi Washington semata-mata, mengikut lensa Trump. 

China Dipatahkan Oleh Langkah Strategik Trump

Di bawah Maduro, China mendapat sebahagian besar minyak Venezuela melalui perjanjian “minyak untuk pinjaman” dengan harga murah, dan melanggar sekatan AS.
Operasi Trump memutuskan talian hayat ini. Kini minyak Venezuela akan dijual pada harga pasaran adil, bukan harga runtuh dan AS telah pun meraih hasil penjualan sebanyak USD500 juta melalui penjualan fasa pertama, yang akan disalurkan untuk pembangunan kemudahan dan infrastruktur Venezuela. 

Pegangan dan kawalan AS dalam sumber minyak ini menjejaskan keselamatan tenaga China dan mengekang keupayaannya untuk menyokong konflik jangka panjang, termasuk ke atas Taiwan.

Bagi Trump, adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan bahawa syarikat-syarikat China merampas pelabuhan atau lombong di Amerika Latin, atau bahawa Iran menjaja pengaruh di Amerika Tengah. Hemisfera Barat adalah lingkungan AS semata-mata, dan ini bermakna menyingkirkan firma milik negara China daripada sumber dan infrastruktur kritikal, menghalang peluang penempatan tentera Rusia atau Iran, dan mewujudkan cegah rintang yang cukup kuat untuk menghalang mana-mana kuasa asing daripada memperluas kehadiran kuasa mereka di sini.

Keselamatan tenaga adalah faktor kritikal bagi China. Beijing telah menghabiskan beberapa dekad untuk mempelbagaikan import minyaknya dan mengurangkan kebergantungan kepada laluan laut yang dikawal oleh AS. 

Venezuela merupakan salah satu pelengkap utama dalam mekanisme itu, dengan anggapan bahawa ia secara teori selamat daripada sekatan tentera laut Amerika Syarikat, kerana Amerika Syarikat secara sejarah tidak akan campur tangan di Amerika Latin.

Justeru, China melabur besar-besaran dalam pertaruhan ini dengan lebih daripada USD50 bilion dalam perjanjian pinjaman-untuk-minyak sepanjang 15 tahun yang lalu demi kepentingan jangka panjang.

Menjelang akhir 2025, kira-kira 80 peratus eksport minyak Venezuela secara senyap mengalir ke China, sering melalui pemindahan kapal-ke-kapal untuk menyembunyikan laluan asal.

Dengan sekatan baharu ini, dan jika konflik atau sekatan memutuskan minyak China dari Teluk Parsi, Beijing kini lebih terbatas. Ini akan membawa kepada implikasi besar terhadap objektif ke atas Taiwan.

Kekurangan bahan api boleh melumpuhkan mana-mana kempen ketenteraan yang berpanjangan, dan langkah Trump kini telah memastikan China mempunyai kurang sumber tenaga dan bahan api dalam simpanan perangnya.

Dengan satu tindakan ini, Trump juga mengehadkan keazaman atau keupayaan China untuk konflik berpanjangan, terutamanya  pencerobohan ke atas Taiwan.

Kini dengan Venezuela bukan lagi terikat di bawah orbit China, ini memaksa Beijing untuk meningkatkan kebergantungan kepada talian bekalan Timur Tengah yang selama ini berada di bawah kawalan Tentera Laut AS.

Natijahnya, ini melemahkan kedudukan strategik China, dan Amerika Syarikat mempunyai pengaruh untuk menggunakannya sebagai amaran kepada Beijing mengenai Taiwan.

Faktor Minyak Bukan Pertaruhan Utama 

AS kini mempunyai status kebebasan sumber tenaga dan tidak memerlukan sandaran minyak dari luar, atas hasil usaha Trump dalam meningkatkan pengeluaran minyak. AS menghasilkan 13.6 juta tong sehari pada 2025, jauh melebihi Venezuela. Percaturan penting ialah rizab jangka panjang dan kestabilan strategik.
Minyak Venezuela akan digunakan untuk membangunkan rakyatnya dan memberi manfaat bersama AS, bukan mengkayakan Maduro atau Beijing.

Selama beberapa dekad sebelum ini, AS merupakan negara yang telah menjadi tulang belakang kepada pembangunan sektor minyak dan gas di Venezuela, di mana syarikat-syarikat minyak gergasi AS seperti ExxonMobil dan ConocoPhillips membina sektor minyak Venezuela sebelum Chávez menasionalisasikannya pada 2007. 

Penangkapan Maduro mengikut naratif AS adalah operasi anti-dadah yang sah, bukan perang. Jabatan Kehakiman AS mempunyai kes kukuh terhadapnya.

Trump menekankan peralihan kuasa yang stabil dan tidak terburu-buru, mengelakkan pergolakan seperti yang berlaku di Iraq dan Libya. Strategi Trump adalah tindakan pantas, dengan element of surprise dan kekuatan ketenteraan yang komprehensif dalam mengalahkan.

Ini penting untuk mengelak konflik berlarutan atau potensi untuk protracted conflict dan risiko chaotic pull-out akan mencetus pergolakan dalaman, insurgency dan power vacuum yang akan meningkatkan kos nyawa dan kos perang yang membengkak seperti yang berlaku di bawah pentadbiran Bush dan Obama. 

Puluhan juta rakyat Venezuela hidup dalam kemiskinan dan kekacauan. Penstabilan semula akan membuka jalan kepada bantuan kemanusiaan dan pemulihan ekonomi.

AS merujuk kepada faktor pertahanan diri dan keselamatan serantau, di mana rejim Maduro dilihat membolehkan penyeludupan narkotik yang telah memudaratkan rakyat AS, justeru tindakan itu diambil untuk mempertahankan AS daripada ancaman berterusan, dan Trump membuat keputusan bahawa nyawa rakyat AS mesti didahulukan.

Negara-negara jiran terutamanya Mexico, Colombia dan Cuba kini mengambil perhatian dan dijangka melakukan lebih banyak usaha untuk membendung aliran aktiviti haram, narkotik dan jenayah yang tidak terkawal serta membetulkan sistem dalaman mereka, dengan amaran dan garis merah Trump yang telah terbukti.

Selama beberapa dekad, pemimpin AS menyaksikan China dan Rusia meningkatkan kemaraan di Amerika Latin dengan penuh kekebalan - membeli pengaruh, melemahkan demokrasi, dan mengancam dominasi Amerika Syarikat di halaman belakangnya sendiri.

Trump telah memecahkan corak tersebut dengan langkah baharu di  Venezuela. 

Dalam percaturan akhir, insiden di Venezuela mencerminkan keinginan Presiden Trump untuk menunjukkan kepimpinan dan personaliti yang tidak berkompromi dengan amaran tegas bahawa beliau tidak akan bermain perang saraf dan akan terus berani untuk menetapkan garis merah dan mengambil tindakan yang diperlukan tanpa terikat dengan norma konvensional yang tidak berkesan sebelum ini. 

Mesej akhir adalah: AS kini telah kembali sebagai kuasa terunggul dunia dan tiada kuasa  lain boleh menghalangnya. 

*Collins Chong Yew Keat ialah pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*