Oleh Collins Chong Yew Keat
KUALA UMPUR, Malaysia: Ketegangan terkini China–Jepun berhubung Taiwan serta kenyataan Perdana Menteri Takaichi Sanae mengenai pertahanan Taiwan mencerminkan ketegangan kuasa asas yang sememangnya telah lama wujud, namun setakat ini dikawal melalui norma konvensional.
Takaichi akhirnya mengubah rubrik kuasa baharu bagi Asia Timur dengan kenyataan berani bahawa sekiranya Beijing menyerang Taiwan, Jepun akan terancam dan akan bertindak untuk mempertahankan kepentingan Jepun dan Taiwan. Beliau telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin Jepun sebelum ini, iaitu menyatakan secara terbuka bahawa keselamatan Jepun sendiri dan kelangsungan hidup negaranya tidak dapat dipisahkan daripada nasib Taiwan.
Dengan kenyataan tersebut, beliau sekadar menyatakan satu kebenaran strategik yang telah lama dibisikkan, tetapi jarang diakui secara terbuka di Tokyo, Washington, atau bahkan Taipei, kerana bimbang mengganggu keseimbangan norma sedia ada serta mengundang reaksi buruk Beijing.
Bagi Jepun, persoalan Taiwan bukanlah satu permainan percaturan geopolitik yang jauh atau isu tidak langsung. Ia merupakan ancaman keselamatan negara yang langsung dan kritikal.
Sebarang potensi serangan China ke atas Taiwan pada masa hadapan pasti akan menjejaskan keselamatan dan kelangsungan hidup Jepun sendiri, serta menarik Jepun ke dalam konflik tersebut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekatan dan kepungan China ke atas Taiwan telah pun memberi dampak kepada Jepun dari segi ekonomi, perdagangan dan kedaulatan wilayah, dan sebarang pencerobohan berskala penuh pada masa hadapan akan mewujudkan ancaman langsung terhadap Jepun.
Hakikatnya ialah serangan China ke atas Taiwan tidak akan terhenti di Selat Taiwan, sama ada pada peringkat awal atau pertengahan. Jika China melancarkan serangan penuh ke atas Taiwan, langkah pencegahan awal oleh Washington akan mencetuskan tindak balas pantas yang setara daripada Beijing, dan Jepun merupakan sasaran semula jadi yang berada tinggi dalam senarai serangan penangkis dan cegah rintang oleh Beijing.
Pulau Jepun yang paling hampir dengan Taiwan, Pulau Yonaguni, hanya terletak kira-kira 110 kilometer dari Taiwan. Ini bermakna sekatan ke atas Taiwan secara literal merupakan sekatan dan ancaman terhadap hak maritim Jepun sendiri. Taiwan bukan satu-satunya mangsa sekiranya China menyerang secara paksa; Jepun berada tepat di laluan kancah konflik tersebut.
Pasukan Amerika Syarikat yang ditempatkan di seluruh Jepun adalah komponen penting dalam sebarang tindak balas Amerika dan keberkesanan usaha menggagalkan serangan awal Beijing ke atas Taiwan. Beijing menyedari hakikat ini, dan ini menjadi antara sasaran awal China untuk mengekang keberkesanan tindak balas Amerika.
Oleh itu, doktrin ketenteraan China telah mengutamakan faktor Jepun, di mana sebarang kejayaan penggunaan kekerasan ke atas Taiwan memerlukan peneutralan penglibatan ketenteraan Jepun serta penyasaran pangkalan-pangkalan Amerika di Jepun.
Maka, dalam semua senario, Jepun pasti akan diheret ke dalam peperangan, dan ini merupakan kebenaran realistik yang telah lama diketahui tetapi jarang berani disuarakan secara terbuka. Di sinilah peranan Takaichi kini menjadi faktor pengubah kritikal dalam landskap kuasa rantau ini, yang telah menyebabkan China seperti cacing kepanasan.
Pukulan Strategik Awal yang Memerangkap Beijing
Kenyataan Takaichi adalah satu langkah yang dikalibrasi secara strategik yang memerangkap Beijing dari segi tindak balas dan naratif.
Dengan mengisytiharkan secara terbuka kemungkinan tindak balas Jepun dalam senario Taiwan, beliau telah memaksa Beijing ke dalam situasi yang sempit dalam percaturan seterusnya.
Sebarang tindak balas agresif akan menjadikan China kelihatan sebagai pencetus konflik, seperti yang dapat dilihat melalui insiden baharu tembakan radar atau radar lock ke atas pesawat Jepun berhampiran Okinawa. Langkah ini turut mendedahkan kerapuhan naratif China.
Beijing lebih selesa mengekalkan kekaburan strategik atau strategic ambiguity ke atas Taiwan, manakala Takaichi telah menyingkirkan kekaburan tersebut dan menggantikannya dengan hala tuju yang tegas dan jelas.
Langkah Takaichi juga memberikan tekanan kepada Washington untuk meningkatkan sokongan dan menilai semula konsep strategic ambiguity Amerika sendiri mengenai Taiwan.
Konsep ini telah digunakan selama beberapa dekad untuk menghalang Taiwan daripada mengubah status quo One China Policy dan menuntut kemerdekaan penuh, dan juga menghalang China daripada menggunakan kekerasan terhadap Taiwan. Namun pendirian dan kesiapsiagaan baharu Takaichi telah menambah tekanan ke atas Washington untuk menerima hakikat bahawa kekaburan tidak lagi berkesan dalam era di mana peluru berpandu China boleh sampai ke Tokyo dalam beberapa minit sahaja.
Sokongan awam terhadap pendirian Takaichi di Jepun semakin meningkat, dalam mengharapkan pentadbirannya mengambil pendirian yang lebih tegas dan tidak bersifat apologetic. Ini mencerminkan kesedaran nasional yang semakin berkembang bahawa berdiam diri mengundang bahaya, manakala kejelasan polisi dan cegah rintang mampu menghalang bahaya.
Dalam tempoh akan datang, kedua-dua pihak tidak akan berundur. Takaichi tidak akan memohon maaf dalam mempertahankan kebenaran dan kepentingan Jepun, manakala Beijing perlu bertindak balas dengan kekuatan untuk meredakan kemarahan domestik dan sentimen nasionalistik.
Walaupun demikian, Beijing tetap rugi dari segi kelebihan percaturan manakala Tokyo mempunyai segala-galanya untuk meraih kelebihan, kini apabila Beijing terpaksa bermain mengikut rentak kawalan awal yang bijaksana oleh Takaichi terhadap pertaruhan kuasa di rantau ini.
Walaupun tanpa senjata nuklear, postur ketenteraan Jepun bukanlah simbolik, tetapi sangat berkuasa dari segi impak kapasiti hard power. Pasukan ketenteraan Jepun, Self Defence Force memiliki antara seni bina anti-peluru berpandu paling maju di dunia, armada pesawat pejuang F-35 yang berkembang pesat, keupayaan rondaan maritim bertaraf dunia, serta keupayaan serangan jarak jauh dalam beberapa tahun akan datang.
Jepun tidak akan menjadi pemain sekunder di rantau ini; ia akan menjadi pelaku barisan hadapan dengan keupayaan pencegahan yang tinggi. Walaupun tidak memiliki senjata nuklear pada masa ini, Washington berada di barisan hadapan dan komited sepenuhnya terhadap pencegahan nuklear lanjutan atau extended nuclear deterrence untuk melindungi Jepun.
Semua ini sudah cukup untuk menimbulkan kegusaran dalam perkiraan strategik Beijing: kekuatan konvensional yang besar, teknologi yang tiada tandingan, dan disokong oleh payung nuklear Amerika Syarikat. Ini memberikan Tokyo kelebihan besar dengan memiliki kapasiti cegah rintang yang kredibel tanpa perlu membangunkan senjata nuklearnya sendiri.
Perang Psikologi Beijing dan Peranan Jepun
Menyedari kelemahan sendiri, Beijing segera melancarkan serangan naratif, melabel Jepun sebagai pihak yang “berbahaya”, “provokatif” dan “tidak boleh diramal”, satu bentuk perang psikologi klasik. Namun, pemain serantau tidak terpengaruh dan memahami kebenaran praktikal dalam keseluruhan persamaan kuasa serantau ini.
Hakikatnya tetap bahawa jika Taiwan jatuh, kerelevanan seni bina keselamatan dan cegah rintang Jepun akan runtuh seiring dengannya. Konsep penampan First Island Chain akan terpecah, dan Beijing akan memperoleh laluan baharu ke arah utara menuju Okinawa dan Kyushu.
Takaichi menyedari perkara ini dan menyuarakan apa yang telah lama difahami oleh ahli strategi serantau, bahawa Jepun tidak mempunyai pilihan selain bertindak walaupun berisiko mengundang ketidakpuasan Beijing.
Ini merupakan simbol kejelasan dan cegah rintang langsung, dan buat pertama kali sejak sekian lama, Jepun, dan bukannya China, yang membentuk naratif masa depan pertaruhan keselamatan di Asia.
Dengan meningkatkan keupayaan cegah rintang hard power, pertaruhan selamat dan terancang sentiasa terjamin.
Tokyo telahpun pantas bertindak dalam reaksi kepada tindak balas China yang jelas tidak berpuas hati dengan kenyataan Takaichi.
Dengan mengumumkan rancangan untuk menempatkan peluru berpandu darat-ke-udara jarak sederhana di Pulau Yonaguni, Tokyo dapat memantau ruang udara sekitar Selat Taiwan dan mewujudkan keberkesanan cegah rintang barisan hadapan terhadap sebarang ancaman dari selatan.
Ruang udara di atas Yonaguni akan menjadi kawasan pertama yang ditembusi oleh kuasa udara dan peluru berpandu China pada fasa awal konflik, yang bertujuan meneutralkan pangkalan Amerika Syarikat di Okinawa. Penempatan sistem Type-03 Chu-SAM dan sistem pemantauan berkaitan di situ mengukuhkan keupayaan Jepun untuk memintas serangan awal dan menafikan China penguasaan ruang udara tanpa cabaran pada detik-detik awal krisis. Ini menutup jurang sedia ada, di mana tanpa ini, ia akan menyebabkan keseluruhan sayap barat daya Jepun terdedah.
Oleh itu, penempatan aset strategik ini merupakan langkah early intervention yang bijak, dengan meningkatkan kos pengembaraan ketenteraan China, memelihara integriti wilayah Jepun, serta menghantar mesej meyakinkan kepada rantau ini.
Peranan Jepun sebagai kuasa cegah rintang merupakan faktor tunggal paling penting, di mana analisis dan simulasi perang secara konsisten menunjukkan bahawa tanpa sokongan Jepun, usaha mempertahankan Taiwan menjadi semakin sukar.
Tanpa akses kepada pangkalan di Jepun, keupayaan pesawat pejuang Amerika Syarikat akan terhad dan serangan akan terjejas, sekali gus membolehkan kuasa peluru berpandu dan udara China menumpukan serangan sepenuhnya ke atas Taiwan dan aset Amerika di laut.
Dalam kebanyakan senario pencerobohan yang disimulasikan, gabungan Amerika Syarikat–Taiwan–Jepun berjaya menewaskan China, dan penglibatan Jepun merupakan perbezaan utama antara kemenangan dan kekalahan.
Beijing amat menyedari hakikat ini, dan ini menjelaskan tindak balas kinetik dan agresif terhadap pendirian serta kenyataan Takaichi.
Jika Jepun tidak campur tangan dan kekal di luar konflik, China mempunyai peluang yang lebih besar untuk akhirnya menakluk Taiwan secara kekerasan, walaupun Taiwan memberikan tentangan yang kuat.
*Collins Chong Yew Keat ialah pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published