Oleh Jose Rizal

KUALA LUMUR, Malaysia: Pembentangan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 adalah titik penting dalam sejarah perburuhan negara.

Ia bukan sahaja memberi pengiktirafan rasmi kepada 1.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung kepada sektor gig, malah ia menjadi benteng perlindungan terhadap ketidakadilan yang selama ini menghantui mereka – daripada ketidakstabilan pendapatan, ketiadaan jaminan sosial,hingga kepada eksploitasi sistemik oleh pihak berkepentingan.

Undang-undang ini bukan milik mana-mana parti, bukan milik individu, dan bukan sekadar agenda kerajaan.

Ia adalah hak rakyat. Maka, setiap ahli Parlimen tanpa mengira blok politik, wajib berdiri menyokongnya. 

Menolak RUU ini sama seperti menggadai maruah rakyat yang setiap hari berkorban di jalan raya, di restoran, di platform digital dan di ruang bandar demi menggerakkan ekonomi.

Namun, kita juga tidak naif. Kami di Gabungan eHailing Malaysia (GEM) ambil maklum wujudnya para pelobi dari kalangan platform tertentu termasuklah orang politik yang cuba melengahkan RUU ini.

Mereka mahu mengekalkan status quo kerana mahu menikmati keuntungan daripada keringat pekerja gig yang tidak dilindungi. 

Kepada mereka, kami beri peringatan – jangan jadi duri dalam daging. Jangan sesekali jadi pengkhianat kepada pekerja.

Mengkhianati pekerja gig bukan sekadar pengkhianatan terhadap komuniti, ia adalah pengkhianatan terhadap negara.

Kami juga tahu usaha menggagalkan RUU ini wujud dalam pelbagai bentuk – tekanan, propaganda, manipulasi fakta. Tetapi hari ini pekerja gig tidak lagi lemah dan terpisah.

Kami lebih sedar, lebih celik, dan lebih bersatu. Setiap percubaan untuk melemahkan perjuangan ini hanya akan menyalakan lagi api solidariti.

Inilah detik yang menguji kita. Rakyat Malaysia, sama ada pekerja gig atau tidak, mesti berdiri bersama.

RUU ini adalah detik bersejarah, bukan sekadar untuk komuniti gig, tetapi untuk seluruh negara yang mengimpikan sebuah sistem pekerjaan yang adil,berperikemanusiaan dan seimbang. 

Sokongan rakyat adalah benteng terakhir untuk memastikan RUU ini diluluskan tanpa kompromi.

GEM mengiktiraf keberanian politik yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri, YBM KESUMA dan seluruh kakitangan awam yang terbabit dalam merangka RUU ini.

Reformasi bukan lagi slogan; ia kini diterjemahkan dalam bentuk dasar yang nyata melindungi rakyat terbanyak.

Malaysia mampu berubah. Dengan kelulusan RUU ini, kita melangkah keluar daripada belenggu ekonomi gig yang rapuh menuju ke arah ekosistem pekerjaan yang lebih adil dan bermaruah.

Kita mampu mengangkat nasib pekerja gig, dan dengan itu merubah wajah masa depan negara.

RUU Pekerja Gig 2025 adalah suara rakyat, perisai pekerja, dan cerminan maruah negara.

Inilah garis pemisah antara mereka yang benar-benar berdiri bersama rakyat, dan mereka yang kelak akan dicatat dalam sejarah sebagai pengkhianat kepada pekerja. 

Sudah sekian lama pekerja gig dijanjikan dengan satu perlindungan, ianya bakal menjadi kenyataan minggu hadapan!

*Jose Rizal ialah Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM).*