Oleh Collins Chong Yew Keat

KUALA LUMPUR, Malaysia: Eropah kini berhadapan dengan realiti pahit baharu di mana Amerika Syarikat (AS) tidak lagi menjadi jaminan payung keselamatan benua itu, dan segala kebergantungan sepenuhnya kepada Washington sebelum ini kini terpadam di bawah model Trump baharu.

Eropah dan NATO tanpa AS akan terus berdepan ancaman yang lebih ketara, mencerminkan kepentingan AS dalam rencana keselamatan rantau tersebut.  Walaupun mereka mempunyai lebih sejuta tentera dan senjata moden yang tersedia daripada 31 negara lain dalam pakatan itu, NATO  masih kekurangan elemen dan keupayaan terakhir yang diperlukan untuk memenangi konflik, atau sekurang-kurangnya memiliki kesan cegah rintang yang berkesan dalam fasa terawal konflik.

Semasa Perang Dingin, tentera AS ditempatkan di benua itu sebagai penghalang kepada aspirasi Soviet, tetapi kini, kehadiran mereka dalam zaman pasca Perang Dingin telah menyebabkan a sense of security complacency dalam kalangan negara Eropah dalam memperkasakan sumber dan perbelanjaan ketenteraan masing-masing.
Dari sudut pandang Washington dan Trump, Eropah kini semakin dilihat sebagai musuh dari dalam, di mana sokongan ketenteraan dan pembiayaan AS selama ini hanya dibalas dengan ketidakseimbangan ekonomi dan perdagangan yang semakin menekan Washington.

Bagi Eropah yang telah lama bergantung kepada sokongan mudah dan kukuh dari Washington secara bipartisan sebelum kedatangan Trump, mereka kini semakin melihat Washington sebagai musuh dan bukan sekutu yang dipercayai, yang dicerminkan dari payung keselamatan yang semakin rapuh dan juga kebolehan Trump menggunakan pengaruhnya untuk meluaskan kuasa dan wilayah, serta menggunakan tarif sebagai alat untuk membetulkan ketidakseimbangan perjanjian, termasuk matlamatnya terhadap Greenland dan Kanada.

Sesetengah pihak berhujah bahawa sebaik sahaja Eropah menyedari bahawa mereka tidak lagi boleh mempercayai dan bergantung kepada Washington, mereka akan terdorong untuk memperbaiki keselamatan mereka sendiri, yang akan menghasilkan Eropah yang lebih kuat, bukannya lebih lemah.

Namun, ini tidak mencerminkan realiti masa lalu dan masa depan mengenai kredibiliti keselamatan dan ekonomi benua itu.

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, berpendapat bahawa Eropah secara keseluruhannya benar-benar mampu memenangi sebarang konfrontasi ketenteraan, kewangan atau ekonomi dengan Rusia. Tetapi kenyataannya jauh realiti—Eropah hanya menjadi sasaran mudah tanpa AS.

Washington Tulang Belakang Keselamatan Eropah

Washington telah menjadi tunjang keselamatan Eropah sejak Perang Dunia Kedua, membantu menubuhkan NATO dan menempatkan ratusan ribu askar di Eropah untuk mencabar pengaruh Soviet. Sehingga Julai 2024, AS mempunyai kira-kira 65,000 tentera aktif yang ditempatkan secara tetap di seluruh Eropah, bersama dengan pelbagai sistem persenjataan, sistem pertahanan, dan aset lain yang penting untuk NATO, menurut Pusat Data Tenaga Kerja Pertahanan Kerajaan AS.

Walaupun sesetengah pihak berhujah bahawa UK, Perancis, Itali, dan Sepanyol mempunyai kapal pengangkut pesawat atau aircraft carriers  dan kapal amfibia moden  atau modern amphibious ships yang mampu melancarkan jet pejuang—berbanding Rusia yang hanya mempunyai satu kapal pengangkut pesawat usang—negara-negara ini masih kekurangan keupayaan, kesiapsiagaan, dan jumlah ketahanan praktikal untuk menghadapi peperangan berpanjangan yang kini dikuasai Rusia yang masih bertahan walaupun terdapat pelbagai tekanan ekonomi yang dikenakan.

Sekutu Eropah dalam NATO mempunyai kira-kira 7,000 pesawat, 6,800 kereta kebal, 2,170 kapal tentera, dan enam kapal pengangkut pesawat, menurut indeks pertahanan Global Firepower. Namun, mereka kekurangan kapasiti tempur sebenar dan pengalaman peperangan seperti yang dimiliki oleh tentera AS dan Rusia.

Rusia mempunyai kelebihan dari segi jumlah dan pengalaman praktikal, serta keunggulan dalam kapasiti konvensional dan nuklear. Perancis dan Britain secara gabungan memiliki kira-kira 500 kepala peledak nuklear, manakala AS mempunyai sekitar 5,000, dan Rusia memiliki jumlah tertinggi iaitu kira-kira 6,000.

Pada masa ini, Rusia mempunyai sekurang-kurangnya 1.32 juta tentera aktif, dengan ratusan ribu daripadanya sedang berperang di Ukraine.

Rusia juga mengendalikan berpuluh-puluh kemudahan dan pangkalan ketenteraan di luar negara, kebanyakannya terletak di bekas negara-negara Soviet.

Jurang keupayaan dan kuasa masih wujud antara keseluruhan Eropah dan persenjataan Washington, yang sangat diperlukan oleh benua itu. Gelombang baharu perlumbaan senjata dan persenjataan telah mengubah orientasi rantau ini, tetapi Eropah masih memerlukan sokongan Washington.

Zelensky telah mendakwa bahawa sekitar 40 peratus daripada keperluan medan perang negaranya kini dipenuhi melalui pengeluaran domestik, melalui usaha sama dengan firma pertahanan Barat. Namun, Ukraine masih terdedah tanpa sokongan Amerika, terutamanya dalam aspek teknologi nuklear dan peluru berpandu berteknologi tinggi.

Jelas bahawa Eropah dan NATO masih ketinggalan dalam perbelanjaan pertahanan.

Tahun lepas, hanya 18 sekutu NATO sahaja membelanjakan sasaran 2 peratus daripada KDNK negara untuk pertahanan. Pada masa ini, negara anggota EU membelanjakan sekitar €325 bilion setahun untuk pertahanan, yang bersamaan dengan kira-kira 1.8 peratus daripada KDNK blok itu.

Apa sebenarnya yang kurang dari segi ketersediaan ketenteraan di Eropah? Ia adalah teknologi ketenteraan asas dan keupayaan yang menjadikan angkatan tentera  berkeupayaan dalam memenangi perang.

Eropah mempunyai kapal dan peluru berpandu yang sudah usang dan juga masih kurang dari segi bilangan. Ia mempunyai kapal tetapi tanpa peluru berpandu yang sesuai, pesawat tanpa kapasiti teknologi yang diperlukan termasuk disrupting and destabilising capacity, dan malah tentera tanpa peluru yang mencukupi.

Perbezaan keupayaan ketenteraan antara Eropah Barat dan Eropah Timur serta jurang kuasa dalaman Eropah amat ketara. Kekurangan spektrum ketenteraan holistik yang digabungkan, termasuk perisikan, keselamatan angkasa lepas dan keupayaan satelit, peperangan siber dan digital, peluru berpandu, serta kapasiti serangan nuklear pertama dan kedua, menjadikan Eropah tidak mampu mempertahankan dirinya tanpa Amerika.

Sifat persenjataan Eropah tidak dapat menandingi keseluruhan payung nuklear dan ketenteraan yang disediakan oleh Amerika.

Kebergantungan mudah kepada jaminan keselamatan ini membolehkan Eropah lebih menumpukan perhatian pada keperluan ekonomi dan perdagangan, serta beralih ke Afrika dan Asia. Namun, usaha ini juga tidak berkesan, dengan strategi Global Gateway dan dorongan Indo-Pasifik gagal menarik Eropah keluar daripada kancah kelembapan ekonominya, walaupun dalam pemulihan pasca-Brexit.

Dengan Trump kini merombak semula percaturan ini, realiti baharu ini mengejutkan Eropah untuk berusaha menyusun semula strategi pertahanannya. Negara-negara EU cuba menggerakkan satu trilion euro bagi menambah perbelanjaan pertahanan untuk tujuan ini.

Eropah Terasa Jurang Kapasiti Ketenteraan

Canselor Jerman yang bakal menggantikan Olaf Scholz, Friedrich Merz, mengumumkan bahawa kerajaan Jerman akan meminda perlembagaan untuk mengecualikan perbelanjaan pertahanan dan keselamatan daripada had limitasi fiskal, lantas membuka jalan bagi peningkatan besar dalam perbelanjaan dan sokongan pertahanan, serta berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk mempertahankan negara, termasuk merancang dana infrastruktur €500 bilion bagi melabur dalam keutamaan seperti pengangkutan, grid tenaga dan perumahan dalam tempoh 10 tahun.

Presiden European Commission, Ursula von der Leyen, mencadangkan untuk mengumpul ratusan bilion euro lagi bagi memulihkan keupayaan pertahanan Eropah.

Seperti yang Trump kerap mengatakan kelemahan dan paradoks Eropah sendiri, EU membelanjakan $23 bilion untuk minyak dan gas Rusia dalam tahun ketiga perang di Ukraine, lebih daripada $19.6 bilion bantuan kewangan yang ditawarkannya kepada Ukraine. Ini menyebabkan Kremlin mengaut hampir $1 trilion daripada eksport minyak sejak Februari 2022.

Eropah telah lama membiasakan dirinya dengan model status quo demokrasi dan tadbir urus yang telah menjadikannya terperangkap dalam pendekatan tradisional dalam menangani dan memahami ancaman. Naib Presiden AS JD Vance berhujah bahawa ketiadaan “demokrasi gaya Trump” di Eropah adalah ancaman keselamatan yang lebih besar kepada benua itu berbanding China atau Rusia.

Pendekatan Trump dalam mengorientasikan semula dasar Eropah dan Rusia telah menimbulkan pelbagai persepsi dan hujah. Ada yang melihat langkah ini sebagai model strategik untuk memisahkan Rusia daripada China dan memaksa Eropah untuk mengambil peranan sendiri terhadap keselamatannya, lalu membuka jalan bagi AS untuk menumpukan perhatian sepenuhnya pada persaingan dengan Beijing.

Walaupun Barat kekal penting dalam mengekalkan peraturan berasaskan sistem dan demokrasi, Trump melihat keperluan yang lebih penting bagi Amerika untuk kekal berdaya tahan dan gemilang kembali, kerana hanya AS yang mempunyai kapasiti untuk menghadapi dan memenangi sebarang ancaman global.

Matlamatnya ialah "Make America Great Again" dan bukannya "Make the West Great Again", di mana kemenangan bagi AS lebih menyeluruh dan penting bagi seluruh dunia Barat.

Ada pula yang menyeru agar Eropah membina cegah rintang nuklear sendiri, dengan Perancis dipanggil untuk meluaskan perlindungan nuklearnya kepada Jerman dan seluruh Eropah. Dengan Jerman sebagai negara terbesar dan paling berkuasa dari segi ekonomi di Eropah, ada yang meminta Berlin membayar sebahagian besar bagi payung nuklear baharu ini, kerana dengan beban hutang yang rendah, Berlin mampu menggerakkan dana.

Namun, ini kekal sebagai cita-cita yang jauh untuk dicapai. Walaupun modal dan sumber mungkin dapat dikumpulkan, hasil akhirnya dalam bentuk cegah rintang ketenteraan yang realistik masih kabur dan tidak mencukupi.

Kelemahan Eropah terhadap keselamatan tenaga dan kebergantungan pada sumber tenaga luar kekal sebagai isu utama. Sukar bagi Eropah untuk menyingkirkan kebergantungan ini, apatah lagi mempertahankan laluan perkapalan dan saluran paip untuk import tenaganya.

Seruan agar Eropah meningkatkan pengeluaran tenaga domestiknya melalui pendekatan baharu liberal green agenda dengan sasaran green energy terus menjadi kesilapan strategi yang besar, di mana selepas proses mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil, kebanyakan negara Eropah kini kembali kepada sumber konvensional.

Ketika Eropah sibuk dengan green and woke agenda, China dan Rusia terus maju dengan strategi mereka sendiri dalam ketenteraan tanpa kekangan dasar hijau ini.

Persoalannya, sejauh mana Eropah akan berbelanja dan mempertahankan Ukraine jika ia tidak mendatangkan manfaat dan kesan limpahan kepada keselamatan Eropah sendiri sebagai forward base deterrent effect?

Ketakutan terhadap kesan domino inilah yang telah mengejutkan Eropah untuk mengambil tindakan baharu.

Jika Ukraine tidak berfungsi sebagai penampan dan barisan hadapan dalam menghentikan niat Putin, Eropah akan mempunyai kurang insentif untuk berbelanja lebih besar. Ini adalh seiring dengan pendekatan self interests for national survival yang tetap menjadi fokus utama.

AS dan Trump masih memegang kelebihan dalam menangani kedua-dua Eropah dan Rusia, demi keamanan rantau dan dunia.

*Collins Chong Yew Keat, pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*