Oleh Kakitangan Petra News

KUALA LUMPUR, Malaysia: Seramai kira-kira 15 kakitangan Petra News Sdn Bhd, penerbit portal berita The Malaysian Insight, The Vibes, dan Getaran, menuntut pembayaran segera caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Bulanan (PCB), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tahun 2024.

Semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan PERKESO mendapati bahawa walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun, Petra News Sdn Bhd gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan. Pekerja yang terjejas mempunyai bukti pemotongan ini dalam slip gaji bulanan mereka.

Setelah menyedari hal ini, kakitangan terjejas telah membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur, pada 14 Februari 2025.

Meskipun pemotongan telah dibuat, syarikat gagal memenuhi kewajipan undang-undang untuk menyerahkan bayaran tersebut, sekali gus menahan hak pekerja secara tidak sah. Kegagalan ini telah menyebabkan kesusahan kewangan kepada pekerja, termasuk permohonan pinjaman yang ditolak kerana caruman KWSP tidak dikreditkan. Pekerja juga bimbang akan dikenakan penalti oleh LHDN apabila memfailkan cukai pendapatan mereka.

Sehubungan dengan pelanggaran ini, kakitangan The Malaysian Insight, The Vibes, dan Getaran menuntut agar Petra News Sdn Bhd segera melunaskan semua caruman tertunggak KWSP, PCB, dan PERKESO bagi tahun 2024 mengikut keperluan undang-undang.

Selain daripada kegagalan menyerahkan caruman berkanun, pekerja juga mengalami kelewatan pembayaran gaji sejak tahun 2024. Kakitangan yang terkesan telah mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang kini sedang menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, meskipun beberapa sesi pendengaran telah dijadualkan, Petra News Sdn Bhd gagal menghadiri sebahagian daripada sesi tersebut, menolak untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), serta melanggar perjanjian terdahulu bagi beberapa pengadu, sekali gus mencemarkan integriti sistem perundangan buruh.

Walaupun terdapat pelanggaran serius ini, tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap Petra News Sdn Bhd atau pemiliknya.

Pada masa yang sama, kakitangan ingin menyampaikan penghargaan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kerana sudi membantu pekerja yang terjejas sejak isu ini didedahkan.

Namun sehingga kini, ramai pekerja masih terpaksa berdepan dengan tekanan kewangan akibat tindakan tidak bertanggungjawab pemilik syarikat.

>Memandangkan keperluan mendesak isu ini, kakitangan The Malaysian Insight, The Vibes, dan Getaran menggesa kementerian serta pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera terhadap Petra News Sdn Bhd bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang buruh dan melindungi keselamatan kewangan pekerja.
 
*Siaran media ini dikeluarkan oleh kakitangan The Malaysian Insight, The Vibes, dan Getaran.*