
Oleh Collins Chong Yew Keat
KUALA LUMPUR, Malaysia: Lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke United Kingdom (UK) berlandaskan usaha memperkukuhkan persahabatan ekonomi atau economic friendshoring efforts untuk memastikan Malaysia memperoleh pulangan ekonomi, perdagangan, dan pelaburan yang diperlukan, terutamanya dalam bidang kritikal baharu yang sejajar dengan usaha transformasi ekonomi negara.
Lawatan ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan kepercayaan dan hubungan di peringkat tertinggi antara pemimpin, serta memperkukuhkan asas sejarah hubungan antara kedua-dua negara yang meliputi aspek ekonomi, people to people ties, perniagaan dan pelaburan dua hala, dan hubungan pendidikan yang sedia kukuh.
Langkah ini turut membuka jalan kepada kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang geopolitik, pertahanan, dan keselamatan yang penting untuk Malaysia memperkukuhkan pilihan sandaran keselamatan dan kapasiti cegah rintang, berasaskan kepada pertalian pertahanan yang sejak sekian lama terjalin dan terpelihara bagi kedua-dua negara.
UK meningkatkan peralihan fokus strategik Indo Pasifiknya, menyertai usaha untuk melindungi kawasan geografi kritikal demi memastikan rantaian bekalan sumber semula jadi penting dan mineral melalui keselamatan maritim serta konsep Free and Open Indo Pacific.
UK juga meningkatkan kehadirannya atau power presence di kawasan strategik utama di Indo Pasifik termasuk di Asia Tenggara.
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, diharapkan oleh pihak luar termasuk UK untuk dapat memastikan prinsip asas susunan serantau yang berasaskan peraturan dan undang-undang antarabangsa dapat ditegakkan serta dapat memacu integrasi ekonomi serantau dan peranan ekonomi kolektif ASEAN.
Dalam bidang pertahanan dan keselamatan, peranan Malaysia sebagai penyeimbang pengaruh dan kuasa seranta. UK juga diperlukan untuk membantu mengisi jurang dalam kapasiti pertahanan serantau, seperti yang dilihat dalam perjanjian pertahanan Malaysia dengan Korea Selatan, hubungan pertahanan diperbaharui dengan Jepun melalui OSA, dan potensi kerjasama baharu dengan Turkiye untuk memperkukuhkan kapasiti pertahanan Malaysia.
Langkah ini memperkukuhkan jaminan alternatif pertahanan Malaysia secara keseluruhan dan peranan pelengkap UK melengkapi kekuatan tambahan Fibve Powers Defence Arrangement (FPDA), di mana Malaysia memainkan peranan strategik untuk UK dalam mengekalkan kehadiran kuasan Indo Pasifik dan peranannya di Asia Tenggara, melindungi rantaian bekalan serta kepentingan geopolitik UK, dan sebagai benteng hadapan menghadapi potensi ancaman dan percaturan kuasa baharu China.
Peralihan fokus kepada Indo Pasifik oleh UK dijangka membawa manfaat besar kepada Malaysia, terutamanya dalam sektor pertahanan dan ekonomi, di mana UK akan meningkatkan usaha cegah rintang melalui aktiviti peningkatan power projection dan menghantar mesej bahawa kehadiran UK adalah kekal secara jangka panjang di rantau ini.
Percaturan ini, termasuk pengukuhan hubungan diplomatik dan ketenteraan dengan sekutu utama dan rakan baharu, memberi manfaat kepada Malaysia dan rantau ini melalui usaha untuk memastikan kebebasan navigasi atau freedom of navigation, dan hak lintas laluan udara di perairan antarabangsa (freedom of overflight), serta menegakkan peraturan undang-undang maritim dan antarabangsa.
Gelombang baharu dalam membina rangka kawalan yang dipercayai di Indo Pasifik akan meningkatkan peranan jangka panjang Malaysia dalam perancangan strategik baharu UK di rantau ini. Malaysia akan mendapat manfaat melalui kelebihan unik dalam penerokaan pasaran dan kegunaan mineral kritikal, transformasi ekonomi dan tenaga baharu, serta usaha negara untuk memperkuat pengaruh Global South dan kepemimpinan dunia Islam dengan membina keterangkuman serantau bersama kuasa Eropah selain daripada gabungan kuasa Kesatuan Eropah (EU).
Pulangan Ekonomi Baharu
Peluang ekonomi Malaysia dengan prospek kemasukan UK sebagai anggota CPTPP membuka akses baharu kepada sektor ekonomi dan perdagangan tradisional serta sebagai pendahulu kepada usaha transformasi ekonomi baharu. Ini berasaskan kepada transformasi digital, pendekatan ekonomi berasaskan nilai dengan fokus kepada penerapann teknologi tinggi, penggalakan strategik mineral kritikal dan komoditi.
Ini menjadi tunjang utama dalam proses peralihan daripada ekonomi secara labour intensive dan pelaburan dan pekerja berkemahiran rendah kepada ekonomi berkemahiran tinggi dengan pemindahan pengetahuan, teknologi, dan digitalisasi yang akan melengkapkan matlamat Malaysia untuk mencapai aspirasi pengurangan karbon, peralihan tenaga baharu, meningkatkan keselamatan makanan dan rantaian bekalan, serta sebagai pelindung penting dan alternatif dalam usaha baharu Malaysia untuk muncul sebagai middle power yang berkaliber.
UK merupakan rakan tradisional dan penyedia keselamatan dipercayai selama beberapa dekad bagi Malaysia, yang merangkumi kepercayaan mendalam dan kapasiti kebergantungan sejak era Perang Dingin dan zaman pasca kolonial. Jaminan pertahanan strategik melalui FPDA telah menjadi manifestasi utama sebagai tonggak hubungan pertahanan dan keselamatan ini, tetapi hubungan pertahanan dua hala secara bilateral perlu diperkukuhkan dan dipertingkat.
Berbeza dengan hubungan pertahanan Malaysia dengan Amerika Syarikat, hubungan pertahanan dengan UK mempunyai sifat dan aspek unik berdasarkan sejarah perjuangan bersama menentang ancaman yang serupa semasa Perang Dingin, dan hubungan ini perlu kekal kukuh dengan perubahan bentuk ancaman masa kini yang merangkumi ancaman tradisional dan bukan tradisional.
Hubungan mendalam di pelbagai peringkat Track II dan Track III termasuk people to people relations, serta legasi sejarah berdasarkan perkongsian panjang sejarah pembangunan di bawah panji Komanwel, menuntut pemerkasaan pertalian untuk perlu berkembang sejajar dengan arus ancaman lebih meruncing.
Berbeza dengan UK, hubungan dengan AS lebih berkisar kepada pandangan grand strategy mengenai kepentingan mengekalkan nilai, norma dan idea kebebasan dan demokrasi serta mempertahankan norma undang-undang antarabangsa yang berlunaskan moral high ground, selari dengan keupayaan dan kapasiti kuasa holistik yang dipegang oleh Washington.
Industri kritikal yang menjadi kepentingan bersama meliputi Kecerdasan Buatan (AI), ekonomi digital, mineral kritikal dan semikonduktor, ekonomi tenaga baharu, ekonomi biru, serta industri berkaitan pertahanan dan keselamatan.
UK memiliki kelebihan konvensional dan sedia ada dari segi kepakaran, infrastruktur, dan kesiapsiagaan sistemik untuk usaha AI ini selain daripada AS, manakala Malaysia menyediakan orientasi holistik sektor awam-swasta dengan fokus teguh kepada aplikasi AI dalam pelbagai model peralihan industri dan ekonomi, serta berfungsi sebagai hab dengan kemasukan firma Barat dan bukan Barat serta aliran masuk modal dan pelaburan dalam bidang berkaitan AI dan digital.
Selain itu, asas kukuh Malaysia dalam elektronik dan pembuatan semikonduktor akan memberi manfaat kepada UK dalam memperluaskan pandangan digital di Indo Pasifik.
Peranan Dalam Menavigasi Ketegangan Barat-China
UK adalah rakan sejarah yang dihargai dan sangat diperlukan dalam perkiraan holistic. Dengan dilema keselamatan yang kian tegang, hubungan ekonomi, budaya, dan pertahanan jangka panjang antara UK-Malaysia kerap diuji, namun lawatan ini membina keyakinan dan kepercayaan yang lebih bertahan lama, serta menghantar mesej bahawa meskipun rantau ini pernah diabaikan dahulu dengan kekangan sumber dan kapasiti kewangan, hubungan baharu dan kerjasama diperbaharui akan memperkukuhkan kerangka bersama dalam membina keyakinan ekonomi dan keselamatan baharu, walaupun Malaysia mematuhi dasar berkecualinya yang ketat.
Pembuatan berteknologi maju, peralihan tenaga baharu, dan ekonomi digital kekal sebagai aspek baharu dalam kepentingan geostrategik untuk kedua-dua negara, yang akan memperkuat usaha untuk kekal mendahului dalam bidang ini. Bagi UK, Malaysia berada di pusat laluan maritim utama dan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan rantaian bekalan, selain berdiri teguh menghadapi postur ekonomi dan pertahanan baharu China.
Dalam mengambil kira pembukaan baharu dan potensi percaturan geopolitik di Northern Sea Route di Laut Artik, UK memerlukan strategi dua hala yang melibatkan ASEAN dan komponen utama ASEAN, termasuk Malaysia, sebagai perlindungan dan alternatif untuk menangani kemunculan Indo Pasifik dan potensi bahaya baharu di Artik yang akan memberi kesan kepada kepentingannya.
Secara kolektif, blok ASEAN kini menjadi ekonomi kelima terbesar di dunia, dan hubungan perdagangan UK-ASEAN bernilai £50 bilion. UK melihat ASEAN sebagai blok ekonomi dan pertahanan utama yang mempunyai kesan langsung terhadap keseimbangan strategik jangka panjang UK dalam berurusan dengan China di mana impaknya sukar diramalkan. Ini ditambah dengan hubungan era baharu di bawah Trump 2.0 yang memerlukan jaminan sandaran selain daripada pertalian merentas Atlantik bersama Washington.
UK dan Malaysia perlu memperkukuhkan pertukaran ekonomi dari segi modal dan teknologi, berdasarkan asas kukuh hubungan people to people dan di peringkat rasmi (Track I), dengan usaha untuk mengurangkan halangan kepada perdagangan, pelaburan, dan perniagaan dalam bidang utama untuk manfaat bersama.
Model strategik konvensional yang digunakan dalam pertimbangan untuk berkecuali dan tidak memihak kini juga menjadi batas bagi Malaysia dalam mendapatkan pulangan penuh daripada hubungan dengan UK. Selain itu, halangan sistemik di peringkat awam juga menyekat usaha memperdalam komitmen dalam bidang pertahanan dan keselamatan, sambil memastikan Malaysia tidak mengganggu hubungan ekonomi dengan rakan lain di mana negara tetap bergantung secara lebih mendalam.
Hubungan antara UK-Malaysia kekal kukuh terutamanya di peringkat rakyat, pendidikan, pelancongan, penyelidikan, perniagaan, dan perdagangan. Bidang-bidang ini memberikan peluang mudah dan paling bermakna sebagai asas untuk memupuk kesan limpahan positif yang menyokong sektor yang lebih kritikal, seperti kerjasama pertahanan, keselamatan, dan bekalan makanan dan tenaga.
Dasarnya, usaha untuk memperoleh pulangan mampan masa depan daripada hubungan unik ini adalah melalui penciptaan mesej yang jelas mengenai kebergantungan bersama dalam ekonomi dan keselamatan, serta kepercayaan mendalam antara kedua-dua negara, yang pernah berkongsi sejarah dalam konteks hubungan kolonial. Hubungan ini menjadi simbol keperluan hubungan berdasarkan kepercayaan dan keyakinan dalam membentuk rantau dan dunia yang patuh kepada peraturan undang-undang antarabangsa, sambil menegakkan kestabilan dan keamanan.
*Collins Chong Yew Keat ialah pakar pengantarabangsaan dan pengurusan strategik dengan Universiti Malaya.*
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published