Oleh Norliza Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, Malaysia--Saya telah melihat video yang dikatakan oleh YB Hannah Yeoh berkenaan video di TikTok yang memaparkan selebriti membuat video promosi yang seakan merendah-rendahkan kaum wanita.

Ingin saya berpesan kepada YB Hannah Yeoh, adalah lebih baik melihat video itu secara penuh dan berhenti menanam rasa kebencian dengan tidak menceritakan intipati dan matlamat video promosi itu dibuat.

Namun apa yang berlaku itu benar ianya mengguris hati.

Kepada selebriti tanah air Datuk Rosyam Nor, saya secara peribadi memberi nasihat agar selepas ini jika ingin berkata apa-apa berkaitan wanita, haruslah menggunakan bahasa-bahasa yang lebih baik dan bukan merendah-rendahkan.

Nampak seperti isu kecil tetapi hati wanita ini mudah tersentuh. Benar jika wanita merajuk siapa yang akan pujuk tetapi kalau sudah tawar hati, wanita juga punya harga diri.

Berhentilah menjadikan wanita sebagai bahan gurauan.

Dan peringatan kepada YB Rina Mohd Harun, tolong fokus kepada isu-isu yang lebih penting.

Jangan keluar selepas isu viral sahaja. Isu Bella terutamanya menjadi tanda tanya apa tindakan susulan daripada YB?

Rentetan kepada penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak dilihat seperti tidak berfungsi.

Saya mohon agar YB Rina Harun lebih fokus kepada polemik yang lebih mendalam.

Isu Kanak-Kanak dan Wanita yang banyak hari ini terutamanya gangguan seksual dan keganasan rumah tangga perlu menjadi fokus utama sepatutnya.

*Norliza Abdul Rahim ialah Naib Ketua Wanita UMNO.*