KUALA LUMPUR, Malaysia--Pada 4 Jun 2022 baru-baru ini, semasa kunjungan sebentarnya di Sabah, Menteri Luar China, Wang Yi menyatakan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengenai minat negaranya untuk meneroka industri sawit di Sabah.


Oleh Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR, Malaysia--Pada 4 Jun 2022 baru-baru ini, semasa kunjungan sebentarnya di Sabah, Menteri Luar China, Wang Yi menyatakan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengenai minat negaranya untuk meneroka industri sawit di Sabah.

Walaupun secara umumnya kemasukan pelabur asing ke negara kita harus digalakkan, hasrat China untuk melabur dalam industri sawit itu perlu dilihat daripada beberapa perspektif:

Syarikat-syarikat asing dari China telah membeli dan memajak hampir 7 juta hektar tanah pertanian dan perlombongan di negara luar daripada tahun 2011 hingga tahun 2020.  

Kegiatan memindah milik tanah secara besar-besaran kepada negara asing tentunya akan menimbulkan ancaman kepada kedaulatan negara. Isu ini juga yang telah mendorong Malaysia untuk mengambil alih semula Guthrie melalui Sime Darby, atau Harrison Crossfield melalui Golden Hope Plantation Berhad sebelum ini.

Pengalaman pelbagai negara seperti Sri Lanka, Tanzania  dan Republik Demokratik Congo juga membuktikan pinjaman dan pelaburan secara besar-besaran daripada China yang gagal diurus dengan baik boleh berakhir dengan kehilangan aset, hartanah mahupun kedaulatan negara kepada China.

Kedudukan Sabah yang strategik dalam perebutan pengaruh dan kuasa di Laut China Selatan antara China dan kuasa Barat juga menuntut kita untuk lebih berhati-hati dalam menilai dan menerima setiap tawaran pelaburan daripada negara tersebut. 

 
Sikap berhati-hati ini juga dizahirkan apabila Indonesia menolak permintaan China untuk memiliki tanah-tanah pertanian dan perladangan di negara mereka.

Oleh yang demikian, Kerajaan hari ini mesti jelas dan tegas dalam mengambil pendekatan yang sama, iaitu terus meraikan dan mengekalkan hubungan dagang yang rapat hanya sebagai pembekal dan pengguna dengan China. 
 
Kedaulatan negara harus dipelihara daripada sebarang ancaman walaupun melibatkan soal pelaburan asing, hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala.