Oleh Mohamad Sabu & Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, Malaysia--Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk meneruskan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai atau Littoral Combat Ship (LCS).

Projek LCS ini ialah projek yang dicadangkan oleh vendor yang telah dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard pada 16 Disember 2011, dan kontrak perjanjiannya ditandatangani pada 17 Julai 2014. Kapal pertama yang sepatutnya siap dibina daripada sejumlah enam kapal ialah pada April 2019.

Namun, sehingga hari ini, iaitu tiga tahun dari tarikh ia sepatutnya siap, tidak ada sebuah kapal pun yang telah dibina.

Kontrak asal LCS bernilai RM9 bilion. Ia merupakan salah satu projek yang terbesar oleh kerajaan Malaysia. Dalam laporan siasatan khas yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang, dalam projek tersebut, sebanyak RM5.94 bilion telah digunakan, dan daripada jumlah itu, tidak diketahui ke mana perginya RM1 bilion.

Pada 11 Februari 2020, kami berdua - Mohamad Sabu and Liew Chin Tong – bersama dengan Tan Sri Ambrin telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad. 

 
Kami memberitahu Perdana Menteri bahawa projek itu akan diteruskan serta cara bagaimana ia boleh diteruskan, dan mencadangkan supaya orang-orang yang disyaki dalam projek itu sebelum ini perlu disiasat dan dihukum.

Sehubungan dengan itu, pengumuman Hishammuddin bermakna tiada apa yang baharu kerana ia sama dengan apa yang kami cadangkan pada tahun 2020.

Kedudukannya sama sahaja seperti dahulu, cuma ia menyedihkan kerana Tentera Laut Diraja Malaysia telah membuang masa selama dua tahun tanpa boleh menggerakkan projek yang sepatutnya diteruskan sebelum ini.

Untuk meneruskan projek LCS, kami mencadangkan supaya:

1.Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin didedahkan kepada umum sekarang agar rakyat dapat melihat sendiri apa yang telah berlaku dalam projek LCS sebelum ini;

2.Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan perlu bersama-sama mendedahkan kepada umum kos-kos tambahan yang diperlukan untuk meneruskan projek LCS ini;

3.Menteri Pertahanan perlu mengumumkan garis masa yang baharu untuk projek ini kerana pembinaan kapal yang pertama sudah terlewat tiga tahun tanpa ada sebarang tanda bila ia akan siap; dan

4.Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) akan diminta membentangkan laporannya kepada Parlimen secepat mungkin.

*Mohamad Sabu ialah mantan Menteri Pertahanan dan Liew Chin Tong mantan Timbalan Menteri Pertahanan.*