Oleh A Kadir Jasin
KUALA LUMPUR, Malaysia--Mukhadimah: Tulisan ini adalah satira (daripada bahasa Inggeris "satire", daripada Latin "satur") yang ditakrifkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai karangan sindiran. Ia memberi huraian berikut: Unsur sastera yang mencampuradukkan sikap kritis dengan "humor" dan "wit" sehingga berjaya memperkatakan secara sindiran tentang kemanusiaan dan institusi manusia lazimnya dijelaskan secara simbolik dengan menggunakan watak-watak binatang.
Saya rasa kurang tepat dan tidak lengkap mengkiaskan atau menyindir Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat (Dewan Negara atau Dewan Undangan Negeri) sebagai "primates" - kera, beruk, ungka, orang utan, gorila, chimpanzee dan seumpamanya - dan katak sahaja. Banyak lagi haiwan yang boleh dan patut dikiaskan demi keadilan kepada para YB dan negara haiwan (animal kingdom).
Hatta kiasan "primates" atau primat dalam bahasa Melayu (primata dalam bahasa Indonesia) itu pun harus ada perbezaan kerana perwatakan primat berlainan di antara satu sama lain. Orang utan misalnya sangat cerdik manakala beruk boleh dilatih menjadi pemetik kelapa dan petai. Tapi kera yang banyak di Taman Tasik tidak ada guna kepada manusia. Lagi-lagilah kalau sudah kena belacan.
Kita boleh kiaskan segelintir YB yang pintar sebagai pelanduk. Dalam metos Melayu, rusa kecil itu digambarkan sebagai pintar. Buaya yang diperdaya oleh Sang Kancil lagi banyak dalam Dewan. Buaya ini jenis reptilia yang raba sana raba sini, bedal sana bedal sini tak kira dalam air jernih atau keruh, kecil atau besar, janda atau anak dara.
Rasanya jenis yang seakan-akan bonobo pun ada. Mana-mana pembaca dan pembahas yang gemar menonton dokumentari mengenai hidupan liar tentu tahu bonobo. Ia adalah subspesis chimpanzee yang hidup aman damai dengan mengamalkan seks bebas jantan betina tanpa mengira batasan keluarga.
Kemudian ada YB perempuan yang berasa dia merak jantan dengan badan langsing dan bulu berwarna-warni tapi tidak hebat prestasi.
Ada YB jenis arnab yang sangka mereka jaguh lari sehingga lupa kepada kura-kura yang "slow and steady". Kura-kura adalah haiwan yang hidup paling lama. Tahun ini, seekor kura-kura raksasa Seychelles bernama Jonathan di pulau St. Helena, Lautan Atlantik Selatan, akan merayakan ulang tahun penetasannya yang ke-190.
Dalam metos Eropah, burung hantu adalah haiwan yang bijaksana. Di kalangan YB pun tentu ada yang berperwatakan macam itu. Cuma oleh sebab burung hantu cergas waktu malam, kita susah nak nampak. Ada juga burung yang tekun macam belatuk acorn yang menyimpan biji oak (acorn) dalam lobang yang digali pada batang pokok atau yang kuat mencuri macam burung frigate (frigatebird) yang menyerang dan merompak ikan di muncung burung puffin.
Tak tahulah kalau ada YB yang berperwatakan harimau Malaya. Dulu Almarhum Syed Jaafar Albar dibagi gelaran "Singa Umno" kerana berlawan dengan Mendiang Lee Kuan Yew. Sekarang yang macam kucing dan tikus adalah. Yang berpekik terlolong bercakaran macam kera berebut pisang di Bukit Maluri, Kuala Selangor, banyak.
Jadi kita boleh melembut dan memperkayakan satira (sindiran) mengenai Ahli Dewan khususnya dan orang politik amnya atau sesiapa saja dengan menggunakan lebih banyak perbandingan. Tak kiralah sama ada dalam tulisan, lukisan atau percakapan. Orang Putih kata, "there are many ways to skin a cat".
*A Kadir Jasin adalah bekas penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri Malaysia.*
Hot news
Satira Haiwan Dalam Dewan
0 Comments
55469 view
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published