Oleh SUHAKAM

KUALA LUMPUR,Malaysia--Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap isu berpanjangan buruh paksa di Malaysia yang mendapat laporan meluas media tempatan dan luar negara. 

 
Buruh paksa adalah pencabulan hak asasi manusia yang serius dan melanggar jaminan peruntukan di bawah Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang melarang segala bentuk perhambaan dan kerja paksa. 
 
Amalan sebegini juga bercanggah dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang menjenayahkan kerja paksa sebagai satu bentuk eksploitasi terhadap manusia. 
 
Pengeluaran beberapa Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat kepada syarikat Malaysia berhubung dakwaan amalan buruh paksa menunjukkan bahawa Malaysia perlu segera melaksanakan langkah efektif untuk segera membasmi dan menangani amalan buruh paksa yang sedang berlaku di Malaysia atau yang melibatkan syarikat Malaysia.

SUHAKAM menyambut baik pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025 yang pertama di Malaysia pada 2021 untuk menangani dan membasmi buruh paksa. 
 
Standard yang ditetapkan oleh Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa 1930 yang akan diratifikasi oleh Malaysia, harus menjadi kayu ukur NAPFL. 
 
Di samping itu, SUHAKAM menggesa untuk natijah yang lebih nyata dicapai dengan segera, termasuk pembaharuan undang-undang dan remedi. 
 
SUHAKAM berharap agar NAPFL kritis menangani, antaranya, keperluan yang lebih ketat bagi syarikat untuk melaksanakan usaha wajar yang efektif dan mekanisme aduan, khususnya dalam amalan pekerjaan mereka. 
 
Walau apa jua peruntukan undang-undang yang akan dikuatkuasakan oleh Kerajaan, syarikat swasta mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang buruh kebangsaan dan standard buruh antarabangsa bagi memastikan pematuhan hak asasi manusia di seluruh rangka kerja rantaian bekalan mereka dan perlu segera menjadi contoh terbaik dalam pematuhan standard hak asasi manusia dan buruh antarabangsa. 
 
Ini juga bagi menangani pelbagai sektor termasuk industri bekalan perubatan, pertanian (termasuk perladangan), pembinaan dan sektor pembuatan.

SUHAKAM mengulangi seruan kepada Kerajaan untuk memastikan ketelusan dengan mengumumkan laporan penuh Jawatankuasa Bebas Khas Pengurusan Pekerja Asing. 
 
Kerajaan perlu mempercepatkan pelaksanaan saranan Jawatankuasa yang mengambil kira isu amalan tidak beretika, tidak sihat dan tidak adil dalam pengambilan pekerja asing termasuk keperluan untuk pengambilan pekerja asing dijalankan telus dengan memperkenalkan sistem dalam talian sepenuhnya. 
 
Bagi memastikan langkah-langkah jangka panjang ini berjaya dilaksanakan, Kerajaan digalakkan untuk mengadakan perundingan yang lebih bermakna dengan pihak berkepentingan termasuk NGO.

SUHAKAM menggesa Kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) yang akan meletakkan tanggungjawab ke atas entiti perniagaan untuk menghormati hak asasi manusia yang bukan hanya untuk menangani isu buruh tetapi juga menekankan akauntabiliti amalan perniagaan kepada manusia dan alam. 
 
NAPBHR harus teguh berpandukan Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGP).